PAS mahu projek kereta Dr M dibuat di Kelantan, Terengganu

PAS mahu projek kereta Dr M dibuat di Kelantan, Terengganu

Langkah itu pasti membantu pertumbuhan ekonomi negeri pantai timur Semenajung, kata Khairuddin Aman Razali.

Free Malaysia Today
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menyokong pelan kereta nasional Tun Dr Mahathir Mohamad dan menggesa kerajaan menggerakkan pembinaannya di Kelantan atau Terengganu.

Wakil rakyat PAS itu berkata langkah itu pasti membantu pertumbuhan ekonomi negeri pantai timur Semenanjung yang terkebelakang berbanding negeri pantai barat.

“Ia boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak negeri, juga boleh menjadi sebab untuk teknokrat dan profesional dalam kalangan anak negeri Terengganu dan Kelantan kembali menyumbang untuk pertumbuhan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembikinan kereta nasional di Kelantan atau Terengganu selaras dengan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kesal idea membuat kereta nasional baru tidak mendapat sambutan.

Perdana menteri di blognya berkata rakyat lebih rela membeli kereta import, dan secara sinis berkata “kita tidak layak dan tidak mampu mengadakan industri automotif”.

Khairuddin berkata sebarang kelemahan dalam projek kereta nasional pertama, Proton, tidak wajar menjadi penghalang kepada rancangan Dr Mahathir, sebaliknya pengalaman itu menyumbang kepada penambahbaikan dasar-dasar kerajaan.

“Terengganu dan Kelantan bersedia menjadi rakan strategik pelaburan kepada kerajaan persekutuan untuk projek ini dengan menyediakan prasarana melibatkan tanah, kilang dan sebagainya,” katanya.

PM kesal idea kereta nasional ke-2 kurang sambutan

Guan Eng: Projek kereta nasional baru akan disokong sektor swasta

Khairy: Projek kereta nasional baru langkah mundur

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.