PAS gesa polis siasat Ramasamy sokong pemberontak Sri Lanka

PAS gesa polis siasat Ramasamy sokong pemberontak Sri Lanka

Ia susulan gambar pemimpin DAP itu memberi penghormatan kepada senapang Kalashnikov dan menerima kunjungan ahli politik India pro-LTTE.

Free Malaysia Today
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan P Ramasamy memberi penghormatan kepada senapang kalashnikov.
PETALING JAYA:
PAS menggesa polis menyiasat seorang pemimpin DAP Pulau Pinang yang dikatakan terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE), kumpulan bersenjata di sebalik perang saudara yang berlangsung selama 30 tahun di Sri Lanka, selepas gambar beliau menunjukkan kesetiaan kepada organisasi yang dikatakan kumpulan pengganas itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata polis harus menyiasat gambar yang menunjukkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy memberi penghormatan kepada satu bingkai bergambar senapang kalashnikov serta menerima kunjungan ahli politik India yang menyokong kumpulan pemisah Tamil di Sri Lanka.

Nasrudin merujuk lawatan V Gopalasamy yang lebih dikenali sebagai Vaiko, yang mengetuai parti Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK) yang berpangkalan di Tamil Nadu, ke Pulau Pinang baru-baru ini untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ramasamy.

PAS berkata Vaiko disenarai hitam oleh imigresen daripada memasuki Malaysia.

“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas beliau dan individu-indivisu lain yang terlibat.

“Tambahan pula, beliau adalah ahli DAP yang memegang jawatan tinggi di Pulau Pinang dan statusnya boleh mempengaruhi hal-hal penting yang lain,” kata Nasrudin.

Ramasamy menjadi sasaran beberapa aktivis Islam termasuk Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, berhubung keengganan kerajaan mengusir penceramah kontroversi Zakir Naik, yang berdepan tuduhan berkaitan keganasan di India.

Beliau baru-baru ini menafikan terlibat dalam kumpulan pemisah LTTE selepas gambarnya mengambil bahagian dalam pertemuan melibatkan Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tersebar di media sosial.

Beliau berkata jawatankuasa itu ditubuhkan oleh kerajaan Sri Lanka selepas perjanjian damai dicapai antara Colombo dan LTTE, sambil menambah beliau juga diminta memainkan peranan sebagai penasihat dalam proses damai di Aceh.

Satu lagi gambar menunjukkan beliau memberi penghormatan kepada gambar senapang.

Ramasamy nafi dakwaan Asri terlibat dengan pemberontak Sri Lanka

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.