Saya lepas semua jawatan Amanah sebelum 2 Julai, kata speaker

Saya lepas semua jawatan Amanah sebelum 2 Julai, kata speaker

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir mengesahkan Mohamad Ariff Md Yusof kini hanya ahli biasa, selepas meletakkan semua jawatan dalam parti itu.

Free Malaysia Today
Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau meletakkan semua jawatan dalam Amanah, termasuk pengerusi Lembaga Disiplin dan Tatatertib serta ahli Majlis Penasihat Pakar pada 26 atau 28 Jun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau melepaskan semua jawatan dalam Amanah sebelum 2 Julai lalu kerana speaker Dewan Rakyat perlu bebas daripada sebarang politik kepartian.

“Saya letak jawatan dalam 26 Jun atau 28 Jun,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir mengesahkan Ariff menyerahkan surat peletakan semua jawatan dalam parti itu, termasuk pengerusi Lembaga Disiplin dan Tatatertib serta ahli Majlis Penasihat Pakar Amanah pada 1 Julai lalu.

“Beliau melepaskan semua jawatan yang beliau pegang dalam parti. Kini, beliau hanya ahli biasa,” kata Anuar.

Manifesto PH jelas menyatakan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dilantik daripada kalangan ahli dewan yang mempunyai integriti serta kredibiliti, selain perlu berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan itu.

Ariff yang merupakan bekas hakim Mahkamah Rayuan dan ahli Amanah mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Rakyat hari ini, namun ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta PAS bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap pelantikan itu yang didakwa tidak mematuhi peraturan Dewan Rakyat.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, kerajaan perlu menyerahkan nama speaker kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Tetapi, ahli Parlimen BN dan PAS mendakwa beberapa pemimpin serta menteri PH dilaporkan pada 2 Julai lalu berkata, kerajaan belum memutuskan siapa calon speaker Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, nama speaker sudah diserahkan 2 Julai lalu, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya membincangkan perkara itu pada 8 Julai lalu.

Hari ini, Dr Mahathir mempertahankan pelantikan Ariff dengan berkata, PH menyerahkan nama calon speaker pada 2 Julai lalu.

Sementara itu, Ariff turut mempertahankan pelantikannya sah dan tidak melanggar peraturan Dewan Rakyat kerana surat usul pencalonannya dihantar kepada setiausaha Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

“Itu boleh disahkan oleh setiausaha Dewan Rakyat.”

Beliau berkata, demokrasi Parlimen hanya boleh dicapai dengan adanya kerjasama daripada semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang.

“Jadi, kita lihat macam mana boleh baiki (demokrasi Parlimen) secara bersama. Ini bukan kerja ahli Parlimen kerajaan, menteri, tetapi saya fikir semua orang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.