Putrajaya jamin lantikan Richard Malanjum tak gugat Islam, Melayu

Putrajaya jamin lantikan Richard Malanjum tak gugat Islam, Melayu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, cadangan kerajaan melantik Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Free Malaysia Today
Mujahid Yusof Rawa berkata, tidak timbul isu ‘tidak selamat’ kerana pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara dibuat berdasarkan kelayakan dan kekananan dalam perkhidmatan. (Gambar Bernama)
Free Malaysia Today
Datuk Mujahid Yusof Rawa.
PUTRAJAYA:
Kerajaan memberi jaminan pelantikan ketua hakim negara dalam kalangan bukan orang Islam dan Melayu tidak akan menggugat keistimewaan kedudukan agama Islam serta kaum Melayu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, tidak timbul isu “tidak selamat” apabila Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru kerana pelantikannya dibuat berdasarkan kelayakan dan kekananan dalam perkhidmatan.

Katanya, cadangan kerajaan melantik Malanjum sebagai ketua hakim negara juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Baginda tidak akan memperkenan sesuatu yang bercanggah dan merosakkan agama, sedangkan baginda adalah pelindung agama Islam,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan hari raya di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.

Mujahid melihat bantahan sesetengah pihak terhadap pelantikan itu sebagai kenyataan politik yang mahu merendahkan imej kerajan Pakatan Harapan, seolah-olah Islam tidak dijaga di bawah kepimpinan mereka.

Malanjum, 65, berasal dari Tuaran, Sabah menjadi orang pertama dari negeri Borneo menyandang jawatan tertinggi itu dalam bidang kehakiman apabila dilantik sebagai ketua hakim negara baru menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan bulan lalu dan berkuat kuasa 31 Julai ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, kewujudan Kompleks Nasyrul Quran sebagai kilang cetak al-Quran ke-2 terbesar di dunia selepas Madinah adalah satu keunikan yang perlu dibanggakan kerana Malaysia mampu menghasilkan naskhah kitab suci berdasarkan keupayaan sendiri.

Katanya, kompleks itu secara tidak langsung menjadikan Malaysia negara contoh kepada dunia dalam menghasilkan al-Quran bermutu tinggi.

“Jika sebelum ini, kita sering melihat naskhah al-Quran versi Timur Tengah, tetapi kita sudah berjaya menghasilkan naskhah dengan versi Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.