Dilema DAP: Lantang di luar, lembik di dalam seperti MCA?

Dilema DAP: Lantang di luar, lembik di dalam seperti MCA?

Ahli politik veteran Yan Pian Hon bertanya sekiranya senyapnya tokoh utama DAP sekarang menandakan Dr Mahathir telah mematahkan sayap mereka, dan berkata pelantikan Azmin Ali menjadikan Lim Guan Eng seolah-olah seorang juruwang.

Free Malaysia Today
Yap Pian Hon merupakan seorang Adun semasa menjadi ahli DAP, dan menjadi Ahli Parlimen setelah menyertai MCA selepas itu.
PETALING JAYA:
Seorang veteran MCA mengingatkan DAP risiko parti itu menjadi seperti MCA sekiranya ia terus berdiam diri mengenai isu yang pernah diperjuangkannya sebelum berkuasa, dan mempersoalkan sama ada “mereka kini terlalu takut” untuk membangkitkan isu berkenaan di depan perdana menteri.

Datuk Yap Pian Hon, yang pernah berkhidmat selama satu penggal sebagai Adun DAP dan setelah itu menjadi Ahli Parlimen MCA berkata, pemimpin DAP yang sebelum ini sangat kritikal terhadap kerajaan lepas kini “senyap” setelah dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

“Sepatutnya mereka harus memanfaatkan peluang sebagai menteri dan timbalan menteri untuk mencapai idea dan isu yang diperjuangkan ketika menjadi ahli Parlimen pembangkang.

“Sebelum ini, isu yang mereka perjuangkan tidak dilayan oleh kerajaan ketika itu. Bukankah ini saat yang mereka tunggu-tunggu, untuk berada dalam kerajaan, dan dapat menyelesaikan isu tersebut?

“Tapi nampaknya mereka mula hilang tumpuan terhadap isu yang pernah diperjuangkan dahulu. Atau adakah mereka terlalu takut untuk membangkitkannya di depan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Yap berkata, beliau dapati isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina “tiba-tiba” dipersoalkan oleh menteri pendidikan atas alasan ia boleh mengancam perpaduan nasional.

Teo Nie Ching ‘tampak bersetuju dengan PM’

“Perpaduan nasional apa yang mereka maksudkan? Kenapa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, yang selama ini memperjuangkan pengiktirafan UEC, tidak tampil menjelaskannya?”

UEC adalah sijil tamat persekolahan sekolah menengah persendirian Cina. Ia diiktiraf oleh sebilangan universiti tempatan dan asing, dan juga sesetengah kerajaan. Bagaimanapun ia tidak diiktiraf sebagai kelayakan kemasukan ke universiti awam Malaysia dan perkhidmatan awam.

Yap mempersoalkan pendirian Teo berhubung Sekolah Wawasan, yang diperkenalkan pada 1997 sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri buat pertama kali, yang menempatkan sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan di bawah satu bumbung bagi menggalakkan integrasi kaum.

Beliau berkata masyarakat Cina berasa bimbang jika bahasa Cina akan diajar sebagai satu subjek semata-mata di sekolah tersebut.

“Teo kerap berbahas di Parlimen mendesak kerajaan sebelum ini membina lebih banyak sekolah Cina, tetapi kini beliau tampak lebih bersetuju dengan perdana menteri,” katanya.

Yap juga mempersoalkan sama ada DAP (yang pada asalnya merupakan kumpulan serpihan daripada parti pemerintah Singapura, People’s Action Party) berpegang pada ideologi yang sama dengan PAP. Kata beliau, di Singapura, terdapat sekolah yang serupa dengan model Sekolah Wawasan, yang mengajar bahasa Cina sebagai satu subjek.

Apakah pemimpin muda lebih berani?

Yap beranggapan Dr Mahathir melantik beberapa pemimpin penting DAP sebagai menteri dan timbalan menteri bagi memastikan mereka “menutup mulut”, dengan tujuan menghalang pemimpin terbabit bercakap menentang beliau.

Antara pemimpin yang dilantik ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

“Kelihatan seperti tokoh ini dilantik bagi menutup mulut mereka. Memang terdapat muka baru dalam Kabinet, tetapi apakah mereka cukup berani untuk mengkritik tindakan Dr Mahathir.”

Yap berkata, pelantikan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri hal ehwal ekonomi menarik kuasa daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. “Dia sebenarnya hanyalah seorang juruwang. Dia tiada kuasa sebagai menteri kewangan.”

Yap berkata, ahli Parlimen DAP lain seperti Tony Pua yang mewakili Damansara Jaya, dan sebelum ini kritikal terhadap Dr Mahathir, tidak dilantik ke dalam Kabinet kerana “Dr Mahathir kenal cara Tony”.

Katanya, ahli Parlimen muda lain seperti Yeo Bee Yin (yang dilantik sebagai menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar), “apakah anda fikir dia akan bercakap menentang Dr Mahathir? Tidak, tentu tidak”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.