AGC: Apandi tidak bercakap benar isu Pulau Batu Puteh

AGC: Apandi tidak bercakap benar isu Pulau Batu Puteh

Bekas peguam negara itu berkata Malaysia tidak berminat terhadap Pulau Batu Puteh dan tidak membangkitkan isu berkenaan dengan kuasa pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor.

Free Malaysia Today
Pejabat Peguam Negara berkata Malaysia berhujah mengenai Pulau Batu Puteh secara terperinci di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini berkata bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, tidak bercakap benar mengenai Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran terhadap keputusan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Merujuk kepada artikel bertajuk “Malaysia ada bukti kukuh” yang diterbitkan pada 1 Julai 2018 dalam Mingguan Malaysia, berdasarkan temu bual dengan Apandi, jabatan itu berkata Apandi menyatakan ICJ memfokuskan kepada surat bertarikh 1953 daripada pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor yang dihantar kepada Singapura.

“Menurut beliau (Apandi) surat tersebut menyatakan Malaysia tidak berminat terhadap Pedra Branca (Pulau Batu Puteh). Beliau menyatakan Malaysia tidak membangkitkan isu berkenaan dengan kuasa pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor tersebut dan disebabkan itu Malaysia kalah dalam kes ini.

“Rekod menunjukkan pernyataan Apandi adalah tidak benar. Malaysia menghujahkan berkenaan dengan perkara tersebut secara terperinci di hadapan ICJ. Hujahan Malaysia berkaitan dengan ini semasa pendengaran lisan kes Pulau Batu Puteh boleh didapati dalam ICJ Document CR 2007/30,” kata jabatan itu dalam kenyataan media.

Ia berkata walaupun keputusan ICJ tidak memihak kepada Malaysia dalam perkara ini, ICJ bagaimanapun dalam penghakimannya memutuskan antara lain, ia tidak menyifatkan surat bertarikh 1953 itu sebagai mempunyai ciri konstitutif dalam erti kata ia mempunyai kesan undang-undang yang muktamad terhadap Johor iaitu Pulau Batu Puteh tetapi sebaliknya ia merupakan maklum balas terhadap suatu pertanyaan.

Menurut AGC, oleh yang demikian, tidak benar sama sekali Malaysia tidak membangkitkan isu berkenaan dengan kuasa pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor itu.

Ia berkata berkenaan dengan kenyataan bahawa ICJ tidak membuat sebarang keputusan berkenaan dengan Tubir Selatan (South Ledge), ICJ dalam penghakimannya pada 2008 membuat keputusan kedaulatan terhadap Tubir Selatan sebagai elevasi air surut dimiliki oleh negara yang dalam laut wilayahnya ia terletak.

“Sehubungan dengan keputusan tersebut, Malaysia dan Singapura menubuhkan suatu Jawatankuasa Teknikal Bersama yang ditugaskan untuk melaksanakan penghakiman 2008 tersebut,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata berikutan penubuhan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum ke-14, dan memandangkan Apandi (ejen bagi Malaysia bagi Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran) diarahkan untuk bercuti, perkara itu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk arahan lanjut.

Menurutnya, salah seorang daripada 3 peguam antarabangsa serta 2 peguam tempatan yang dilantik oleh Apandi untuk mengendalikan kes itu diarahkan untuk memberikan taklimat kepada perdana menteri berkenaan perkara tersebut pada Mei 2018.

Ia berkata ketika taklimat tersebut, Dr Brandan Plant, yang mewakili peguam antarabangsa, mengekalkan dan mengulangi pandangan bertulis kolektif peguam-peguam antarabangsa bertarikh Januari 2017.

“Dalam hal ini, kedua-dua peguam tempatan yang dilantik iaitu Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohamad Sidek dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin (yang bekerja secara langsung dan rapat dengan Apandi) tidak membantah Dr Plant. Turut hadir semasa taklimat tersebut ialah wakil daripada AGC serta Wisma Putra,” kata jabatan itu.

Ia berkata selepas mengambil kira pandangan serta kepentingan negara yang lain, termasuk implikasi kos, Dr Mahathir membuat keputusan adalah lebih baik tidak meneruskan prosiding semakan itu.

Ia berkata keputusan itu kemudiannya dilaporkan kepada jemaah menteri baharu dalam mesyuarat Kabinet pertama pada 23 Mei lalu dan diluluskan oleh jemaah menteri.

“Keputusan tersebut serta asas-asasnya juga disembah maklumkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” kata jabatan itu.

Ia berkata ICJ sebelum ini menetapkan 11 hingga 22 Jun 2018 bagi pendengaran lisan kedua-dua Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran itu.

Jabatan itu juga menyatakan selaras dengan amalan biasa ICJ, Malaysia tiada halangan untuk pliding bertulis bagi kedua-dua Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran boleh diakses oleh umum melalui laman sesawang ICJ.

 

Berapa kos cabar keputusan ICJ dalam kes Pulau Batu Putih, soal peguam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.