Kematian kadet: Keluarga tuntut TLDM, polis jelas punca sebenar

Kematian kadet: Keluarga tuntut TLDM, polis jelas punca sebenar

Peguam N Surendran berkata timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal akibat paru-paru berair sedangkan laporan perubatan menyatakan mendiang sangat sihat.

Free Malaysia Today
Surendran mendakwa kematian Soosaimanicckam mempunyai unsur jenayah berdasarkan dokumen dan bukti diperoleh daripada anak guamnya.
PETALING JAYA:
Keluarga Pegawai Kadet Graduan (PKG) J Soosaimanicckam menuntut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis memberi penjelasan terperinci berhubung kematian PKG tersebut semasa menjalani latihan di atas KD Sultan Idris, Lumut pada Mei lalu.

Peguam keluarga mendiang, N Surendran berkata timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.

“Sehingga kini tiada sebarang penjelasan diberi pihak TLDM dan tiada jawapan daripada pihak polis yang sepatutnya menyiasat kes ini lebih lanjut,” katanya kepada pemberita di pejabat Lawyers for Liberty (LFL), hari ini.

Penasihat LFL itu mendakwa kematian Soosaimanicckam, 27, mempunyai unsur jenayah berdasarkan dokumen dan bukti yang diperoleh daripada anak guamnya.

Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang, 19 Mei lalu di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Sebelum itu mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas ketika berada di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada 12.20 tengah hari.

Portal berita tempatan pada 20 Mei lalu melaporkan Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman sebagai berkata siasatan forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat paru-paru berair dan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal.

Susulan itu keluarga mangsa membuat laporan polis sehari selepas beliau meninggal dunia (20 Mei) dan laporan kedua pada 1 Julai lalu menuntut pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan penjelasan lebih terperinci.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.