
Menyifatkan penggabungan itu agak “kompleks”, beliau menjamin semua aspek penting, antaranya jumlah pekerja, kos dan saluran berita diteliti sepenuhnya sebelum keputusan dibuat.
“Misal kata kalau kita ada gabungan, siapa bertanggungjawab kumpul maklumat dari segi berita, siapa bertanggungjawab dari segi siapkan proses siaran berita.
“Ia juga melibatkan soal kita ada lebihan tenaga kerja…satu perkara penting untuk saya,” katanya selepas selesai lawatan kerja ke tapak pembangunan Media City, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Abdul Muis Sheffi dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Gobind turut menjelaskan setakat cadangan penggabungan diumum hujung bulan lepas, beberapa siri perbincangan mengenainya dilaksanakan, dengan kedua-dua entiti media di bawah pengurusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu menyuarakan banyak cadangan yang baik.
Beliau percaya gabungan, yang dianggap akan membentuk sebuah “Dapur Media” itu, akan dapat membiayai lebih banyak pelaburan untuk kandungan siaran, dengan lebihan dana hasil penjimatan kos pengurusan.
Terdahulu, beliau yang diberi taklimat mengenai status pembinaan Media City berkata, fasa pertama daripada 3 fasa, melibatkan pengubahsuaian pada bangunan sedia ada dijangka siap sepenuhnya September ini.
Bagi fasa kedua melibatkan kerja-kerja sama seperti fasa pertama, katanya dijangka siap pada Jun tahun depan dan fasa ketiga melibatkan urusan membina dan melengkapkan kemudahan baharu pula dijangka siap pada Jun 2020.
“Saya dimaklumkan kos sedia ada cukup untuk tampung pembinaan dan saya juga dimaklumkan mereka lebih awal dari jadual,” katanya.
Media City yang dicadang kerajaan pada 2009, dibina di atas tanah seluas 27.11 hektar di Angkasapuri dan menelan belanja RM860 juta.