
Johari yang juga ahli parlimen Sungai Petani berkata, matlamat BTN boleh dilaksanakan melalui pelbagai agensi lain termasuk Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan universiti seluruh negara.
“Tugas BTN itu boleh diambil agensi-agensi lain, tanpa perlu untuk campur adukkan. Banyak agensi lain yang ada sekarang, Intan sendiri boleh mainkan peranan ini.
“Tidak menjadi masalah jika mahu semaikan perasaan sayang kepada negara. Kita juga banyak universiti yang boleh membantu, jadi hanya perlu perkemaskan,” katanya kepada FMT.
BTN ditubuhkan pada 1974 sebagai Unit Penyelidikan Belia di bawah Kementerian Belia, tetapi dijenamakan semula dan dipindahkan pada 1981.
Objektif BTN adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan komitmen untuk keunggulan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia juga bertujuan melatih bakal pemimpin di masa hadapan untuk menyokong usaha pembangunan negara.
Johari berkata, beliau sendiri bersetuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memansuhkan BTN.
“BTN menyimpang terlalu jauh dari asas penubuhannya, saya tidak ada masalah untuk bersetuju dengan Syed Saddiq. Hal ini kerana, kita gunakan duit rakyat.”
Isnin lalu, Syed Saddiq berkata BTN akan dimansuhkan dalam tempoh terdekat.
Beliau mengulas langkah kerajaan menutup BTN yang dikecam pihak tertentu sejak beberapa tahun lepas kerana mendakwa biro itu digunakan untuk memupuk doktrin perkauman serta ketaksuban dan hanya menguntungkan tuan politiknya.
“Saya komited untuk menjadikannya suatu kenyataan dalam penggal pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sekarang,” katanya.