
“Provokasi saya telah menghasilkan jawapan yang ditunggu oleh masyarakat Islam di negara ini yang semakin ramai memandang serong dan negatif terhadap sekolah-sekolah tahfiz persendirian. Masih tidak ada kawalan berkesan terhadap pertumbuhannya.
“Kejayaan sekolah tahfiz melahirkan huffaz profesional adalah terpencil, tetapi ramai anak kita yang akan menjadi korban dan membuang masa di sekolah-sekolah tahfiz persendirian yang masih di luar kawalan,” tulisnya dalam blog hari ini.
Semalam, Zainudin yang dikenali sebagai Zam mencadangkan semua sekolah tahfiz ditutup kerana mendakwa ia tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.
Beliau berharap menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berani dan tegas membawa umat Islam kepada realiti dan keperluan kepada sikap dinamik serta menolak “kearaban” sebagai keislaman.
Mujahid hari ini menolak cadangan menutup semua sekolah tahfiz dan menasihatkan Zam sebagai “orang lama” sepatutnya membuat “homework” dan melihat sumbangan para huffaz.
Beberapa gabungan tahfiz dan NGO juga menolak dan menentang cadangan menutup sekolah tahfiz itu.
Zainudin mendakwa kajian dan siasatan dijalankan beberapa pihak, termasuk Kementerian Pendidikan ke atas sekolah tahfiz tidak diumumkan kerana kerajaan terdahulu tidak berani menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Kajian itu terus terbenam bersama terbenamnya kerajaan Barisan Nasional. Jabatan-jabatan agama yang terlibat juga mendiamkan diri, seolah-olah mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.”
Beliau turut mengulangi gesaan untuk kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan mengawal penubuhan sekolah tahfiz swasta bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa penipuan dan kelalaian sesetengah pihak.
“Saya ingin menarik perhatian Mujahid sebab yang mendorongkan saya supaya (cadang) ditutup dulu semua sekolah tahfiz persendirian di negara ini kerana menjadi perdagangan ustaz-ustaz.
“Seorang rakan peguam saya di Pulau Pinang mempunyai kes aduan seorang ustaz menukarkan tanah diwakafkan kepadanya untuk membuka sekolah tahfiz tanpa surat perjanjian, menjadi miliknya.
“Kes belum selesai dan banyak lagi kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mengambil kesempatan daripada sentimen agama,” dakwanya.
Zainudin juga yakin Mujahid dan Menteri Pendidikan, Mazlee Malik boleh memajukan Islam yang sihat di negara ini.
“Saya percaya 2 menteri ini yang mempunyai latar belakang akademik seimbang boleh menjadikan diri mereka sebagai contoh pembinaan masyarakat Islam (role model) yang berkualiti dan terhormat di negara ini.”