
Presidennya, Mohd Zahid Mahmood menentang cadangan itu kerana sekolah tahfiz sudah melahirkan ramai insan mulia dan berkemahiran dari segi agama serta akademik.
“Sekolah tahfiz sekarang bukan macam dulu. Sekolah tahfiz sekarang ada kemahiran, akademik dan ada yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyambung pelajaran mereka ke peringkat diploma.
“Insan yang lahir dari sekolah tahfiz ada yang bekerja di sektor kerajaan dan menjadi polis, tentera, imigresen dan sebagainya. Dengan ilmu agama yang mereka ada dapat menjatikan diri mereka,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau mengulas cadangan Zainudin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.
Beliau berharap Mujahid berani dan tegas membawa umat Islam kepada realiti dan keperluan terhadap sikap dinamik serta menolak “kearaban” sebagai keislaman.
Zahid turut mempersoalkan Zainudin mengapa tidak mencadangkan penutupan pusat judi dan hiburan seperti disko yang terang-terangan membawa keburukan kepada Islam serta bukan Islam.
“Kenapa mereka nak tutup sekolah tahfiz sedangkan ia melahirkan insan yang mulia, memberi manfaat kepada negara dan membina jati diri.
“Sepatutnya kekurangan sekolah tahfiz disempurnakan bukannya ditutup.”
Sementara itu, Presiden Pinta Johor, Muhammad Faizal Mohd Zein dukacita dengan cadangan itu kerana ibu bapa mempunyai pilihan masing-masing untuk pembelajaran anak mereka.
Katanya, cadangan itu tidak wajar dan berfikiran mundur kerana pembelajaran di sekolah tahfiz menekankan al-Quran yang merupakan asas kepada agama Islam dan dasar kehidupan sejagat.
“Kita tidak setuju kenyataan Zam jika tutup sekolah tahfiz dapat perjuangkan pendidikan yang maju atau secara global di Malaysia.”
Bekas pegawai penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Husin, berkata Zainudin sepatutnya memberi cadangan membina seperti silibus sekolah tahfiz perlu menampilkan pendidikan kritikal dan vokasional.
“Mungkin serapkan dalam vokasional.”