Johor sasar pelaburan firma China lebih RM1 bilion

Johor sasar pelaburan firma China lebih RM1 bilion

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata kedua-dua pihak berharap perbincangan itu dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Free Malaysia Today
Puah berkata butiran terperinci mengenainya hanya akan diumumkan selepas perbincangan itu dimuktamadkan. (Gambar Fail)
KULAI:
Kerajaan negeri Johor sedang mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat dari China mengenai rancangannya untuk melabur lebih RM1 bilion bagi membina kilang pengeluaran tayar di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata kedua-dua pihak berharap perbincangan itu dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

“Kami kini dalam perbincangan lanjut dengan mereka dan berharap menjelang akhir tahun ini kami dapat menandatangani memorandum persefahaman,” katanya, sambil menambah butiran terperinci mengenainya hanya akan diumumkan selepas perbincangan itu dimuktamadkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program publisiti dan penglibatan awam berkaitan draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kulai-Sedenak 2025, semalam.

Puah berkata RKK melibatkan pembangunan Lembah Digital Sedenak (SDV) iaitu projek perintis bandar pintar hijau yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Di bawah rancangan pembangunan itu, SDV akan menjadi hab digital dan data menjelang 2025 yang akan menjana 77,500 pekerjaan dengan 70% daripadanya merupakan pekerja berkemahiran tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.