
“Cubaan kerajaan negeri untuk berdolak dalik dan menjadikan isu zina dan LGBT sebagai ‘kambing hitam’ kepada isu sebenar hanya akan menyumbang kepada stigma dan salah faham masyarakat terhadap isu yang sebenar.
“Isu ini sememangnya kritikal dan memerlukan tindakan segera serta serius oleh kerajaan pusat serta kerajaan negeri.
“Isu berkenaan zina dan LGBT digunakan untuk mengalihkan perhatian orang awam dari isu utama di sini, iaitu isu perkahwinan kanak-kanak,” kata Gabungan Organisasi Wanita Bertindak Bagi Kesamarataan Gender (JAG) dalam satu kenyataan yang meminta Mohd Amar tidak memandang remeh mengenai isu perkahwinan kanak-kanak.
JAG terdiri daripada gabungan NGO wanita, termasuk Justice for Sisters Association of Women Lawyers (AWL), All Women’s Action Society (Awam), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Persatuan Sahabat Wanita (PSWS), SAWO (Sabah Women’s Action Resource Group), Sisters in Islam (SIS), Persatuan Pertolongan Wanita (WAO) dan Women Center for Change (WCC).
Semalam, Mohd Amar berkata kerajaan Persekutuan dan masyarakat diseru untuk memberi perhatian dalam isu membabitkan lesbian, gay, biseksual dan transgender serta persetubuhan haram daripada lebih membicarakan mengenai perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan pasangannya berumur 41 tahun di Gua Musang, baru-baru ini.
“Isu ini (perkahwinan kanak-kanak) tidak salah dari segi agama (Islam)…tidak sepatutnya isu ini disensasi dan dijadikan sebagai satu isu negara dan perkara ini pula kes terpencil.
“Bukan semua orang kahwin dengan budak umur 11 tahun tapi isu LGBT, persetubuhan haram dan anak luar nikah berlaku di merata-rata, dah jadi satu fenomena dalam negara. Ini sepatutnya menjadi kebimbangan kepada kerajaan dan masyarakat,” katanya.
Memetik kenyataan Majlis Peguam Negara, JAG berkata antara 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Katanya lagi, antara 2000 hingga 2014, 7,719 permohonan perkahwinan dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam.
“Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi perkahwinan kanak-kanak menjelang 2050, sebanyak 1.2 billion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan,” katanya.
JAG berkata perkahwinan kanak-kanak merupakan suatu perkara yang memerlukan pendekatan yang menyeluruh sekaligus punca-punca yang menggalakan isu ini berterusan harus dikaji dengan teliti.
Katanya, ini termasuklah isu kemiskinan, kurang pemahaman gender dan kurang keutamaan terhadap perlindungan hak kanak-kanak.
“Kahwin bawah umur memberi impak dari sudut kesihatan dan psikologi yang boleh menyebabkan kanak-kanak bawah umur terdedah kepada risiko keganasan dan penderaan.
“Tambahan pula, kahwin bawah umur akan menjejaskan peluang bagi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan formal dan membebankan mereka dengan kerja dan tanggungjawab rumahtangga yang mereka tidak mampu jalankan,” katanya.
JAG berkata kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bertanggungjawab dalam menegakkan dan melindungi hak kanak-kanak sekaligus meletakkan kepentingan dan keperluan kanak-kanak sebagai keutamaan.
“Ini adalah selaras dengan tanggungjawab Malaysia sebagai negara yang meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
“JAG juga menyokong cadangan Majlis Peguam dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang melaporkan terus ke Parlimen dengan kuasa untuk menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkara lain yang berkaitan dengan kanak-kanak.”
Timbalan MB Kelantan: Kahwin bawah umur terpencil, fokus LGBT