
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan membekukan akaun yang dilakukan SPRM itu di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.
“Saya tidak tahu dan belum menerima apa-apa laporan berhubung perkara itu (pembekuan akaun), tetapi apa-apa pun kalau ia di bawah SPRM, itu adalah tugas SPRM. Saya tidak boleh nak komen.
“Apa jua tindakan yang dilakukan oleh SPRM, ia tentunya ada asas-asas yang ditemui pihak SPRM,” katanya selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, semalam.
Beliau mengulas laporan pembekuan akaun Ibu pejabat Umno Pusat dan Selangor yang didakwa Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Muhyiddin turut menafikan dakwaan Zahid yang mengatakan beliau akan mengarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran Umno sebagai sebuah parti.
Beliau berkata, JPPM berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana pertubuhan yang didapati gagal mematuhi undang-undang dan peraturan parti itu sendiri.
“Tidak elok untuk Datuk Seri Ahmad Zahid yang pernah berada di kedudukan itu (menteri dalam negeri) bersangka buruk kerana mungkinkah sewaktu beliau berada di sana, beliau berbuat begitu dan mungkin beliau berfikir saya sama seperti beliau.
“Saya tidak sama macam beliau. Saya yakin dan percaya kita mesti bersikap profesional dalam membuat apa-apa siasatan dan jangan mudah menuduh. Kalau Umno melakukan kesalahan, Umno kena tahu perlembagaannya dan undang-undang serta apa yang perlu dibuat.”
Terdahulu, Zahid mendakwa akaun Ibu Pejabat Umno Pusat dan Selangor dibekukan SPRM semalam, manakala akaun Umno Johor juga hampir pasti akan dibekukan SPRM dalam masa terdekat.