
Timbalan Presidennya, Mohd Nasaie Ismail berkata, laporan itu dibuat susulan kesediaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuka semula kes lama.
Katanya, kes pertama membabitkan penjualan 112 juta saham atau 51% baki kepentingan dalam Felda Holdings Bhd (FHB) oleh Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) kepada Felda Ventures Holdings Bhd (FGV) pada 2013.
“KPF sebagai pemegang 51% saham dalam Felda Holdings Berhad telah dibayar dengan harga terlalu rendah, iaitu RM2.2 bilion berbanding Felda Authorities yang memegang 49% saham dalam Felda Holdings dibayar oleh FGV hampir RM6 bilion.
“FGV sebagai pemegang saham utama kepada Felda Holdings dibayar kurang RM4 bilion daripada harga yang sepatutnya,” katanya di luar Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Isa dilantik sebagai Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017 dan Pengerusi FGV mulai 1 Januari 2011, sebelum meletak jawatan pada 19 Jun 2017.
Nasaie berkata, laporan ke-2 mengenai pembelian 3 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London, Kuching dan Kota Kinabalu yang melebihi harga pasaran.
Katanya, tiada perkembangan lanjut atau pendakwaan dibuat selepas siasatan dijalankan ke atas Isa dan beberapa pegawai.
Isa direman 5 hari mulai 15 Ogos 2017 atas siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC.
FIC didakwa mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit akibat membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada harga £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.
Hotel & Suites Merdeka Palace di Kuching yang bertaraf 4 bintang juga didakwa dibeli melebihi harga pasaran antara RM40 juta dan RM50 juta.
Nasaie berkata, kes ke-3 membabitkan pembelian 37% saham syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
“Apabila kita melawat perladangan ini, ia bukan kawasan perladangan yang baik kerana tanahnya adalah tanah paya gambut dan masih banyak proses penanaman semula yang perlu dilakukan ladang sawit itu.”
Felda menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) membeli 37% saham Eagle High daripada Rajawali Group pada harga AS$505.4 juta (RM2.26 bilion), hampir 3 kali ganda daripada harga pasaran pada April 2017 dan memberi akses kepada tanah perladangan lebih 320,000 hektar di Indonesia.
Nasaie berkata, dalam usaha mengembalikan Felda kepada matlamat asalnya, pihak bertanggungjawab perlu menyiasat penyelewengan yang berlaku dalam Felda sebelum ini.
“Secara khususnya di bawah pentadbiran Isa Samad bagi mendapatkan kembali wang kita yang telah hilang daripada Felda dan peneroka untuk dikembalikan bagi membina semula Felda.”