Umno tidak terlibat dengan 1MDB, kata Annuar

Umno tidak terlibat dengan 1MDB, kata Annuar

Umno perlu berterus terang dan tidak boleh terus menanggung beban isu 1MDB dan wang RM2.6 bilion

Free Malaysia Today
Annuar berkata 1MDB sebenarnya hanya melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet kerajaan ketika itu.
KUALA LUMPUR:
Umno tidak pernah terlibat dalam skandal 1MDB, tetapi isu itu menjadi beban dan bencana kepada parti sehingga gagal meyakinkan rakyat walau apa pun penjelasan dibuat, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata 1MDB sebenarnya hanya melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet kerajaan ketika itu.

“Jadi kita (Umno) berada di luar, kita terpaksa terima penjelasan daripada kerajaan. Saya sebagai orang luar tak ada maklumat lain, sebab itu kita berikan kelebihan kepada kerajaan.

“Tetapi bila isu itu datang bertubi-tubi, sehingga ke hari ini kerajaan (BN) jatuh, perkara (isu 1MDB) masih samar dan belum ada penyelesaian. Ini dilema yang kita hadapi sebab ‘bagasi’ yang kita bawa terlalu besar,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di Bukit Damansara.

Annuar berkata Umno perlu berterus terang dan tidak boleh terus membawa beban isu 1MDB dan wang RM2.6 bilion.

Katanya, Umno perlu serahkan sepenuhnya isu itu kepada undang-undang dan menerima hakikat tidak ada pemimpin yang terlalu besar yang mesti dipertahankan sehingga mengorbankan parti.

“Umno bukan 1MDB, bukan RM2.6 bilion. Umno perlu memandang ke hadapan dan bergerak sebagai wadah yang memperjuangkan kebajikan rakyat Malaysia dan kepentingan Bumiputera serta umat Islam di negara ini.

“Kita ada tugas besar dan perlu bergelumang dengan masalah itu. Bagi saya, kita nakkan kebenaran. Rakyat Malaysia berhak mendapat kebenaran, berhak mendapat kerajaan dan parti politik yang bersih, berintegriti dan boleh diyakini.

“Jadi kalau ada apa-apa masalah, tidak boleh dikebelakangkan soal integriti dan kemurniaan. Ia memainkan peranan dalam parti,” katanya.

Saya tidak berada dalam saf kepimpinan Najib

Annuar berkata beliau tidak berada dalam saf kepimpinan Najib yang memimpin Umno selama 9 tahun, ataupun berada dalam Kabinet dan juga dalam biro politik parti itu.

“Saya cuma datang 1 atau 2 tahun terakhir untuk bantu parti. Saya berpegang kepada prinsip kerja berpasukan, dan paling penting kesetiaan kepada parti.

“Saya akui bila masuk ke dalam biro politik, terlalu banyak kepincangan dan kelemahan parti. Tetapi sebagai seorang yang berdisiplin, tidak boleh bawa benda itu keluar, saya adalah ‘team player’,” katanya.

Annuar berkata beliau pernah menghantar memorandum 3 muka surat kepada Najib 2 tahun yang lalu dan menyebut BN akan kalah pilihan raya umum.

Katanya antara lain beliau menyebut masalah seperti 1MDB, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup.

“Kalau ia tidak ditangani dengan baik, isu itu akan bawa musibah pada parti. Ini bukan saya cakap secara lisan, tetapi saya tulis dan rekodnya ada saya simpan sampai sekarang. Beberapa ahli majlis tertinggi tahu.

“Saya juga sebut berkali-kali sampai saat akhir bahawa banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Tidak berkempen untuk jawatan timbalan presiden Umno

Annuar yang juga calon timbalan presiden Umno berkata beliau tidak akan berkempen, tetapi hanya akan menghadiri perjumpaan diaturkan oleh Umno sebelum pemilihan diadakan pada 30 Jun depan.

Beliau berjanji tidak akan ada usaha kempen di pihaknya, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan parti memilih calon paling sesuai untuk membantu presiden Umno yang bakal dilantik.

“Saya tawarkan diri, tetapi saya tidak akan berkempen. Sebenarnya saya sudah buat keputusan tidak sertai pertandingan Majlis Tertinggi kali ini oleh kerana hanya mahu berperanan membantu parti dan kepimpinan.

“Tetapi bila ia berlaku, saya toleh kiri dan kanan, saya dapati saya paling kanan dari segi keahlian parti dan susunan penjawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.