
Beliau berkata sejak menyandang jawatan perdana menteri, kerajaan membatalkan banyak projek menelan kos tinggi yang menyumbang kepada keseluruhan pengurangan hutang itu.
“Usaha mengurangkan hutang tugas yang sukar, tetapi kami membatalkan banyak projek melibatkan kos tinggi,” katanya pada majlis makan tengah hari Dewan Perniagaan Amerika Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata usaha kerajaan menambah baik keadaan kewangan dan ekonomi negara itu tidak diterima dengan positif oleh pelabur asing yang membawa kepada pengaliran keluar modal.
“Kadang-kadang, saya rasakan pasaran lebih suka dibohongi betapa bagusnya kami daripada mengetahui tentang kebenaran sebenar,” katanya.
Perdana menteri menekankan tentang dasar mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan serta perlunya ada kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta.
“Kita mahu bekerjasama rapat dengan sektor swasta, yang bermakna, sudah tentunya, kita boleh memanfaatkannya,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata kerajaan terbuka menerima idea dan komen membina daripada sektor swasta bagi membantu menambah baik proses penyampaian perkhidmatan sektor awam.
“Saya beri jaminan apabila dikritik atau diberi tahu yang kami melakukan sesuatu yang salah, kami akan melakukan yang terbaik untuk membetulkannya,” katanya.
Beliau berkata kerajaan berhasrat memudahkan pertumbuhan sektor swasta yang merupakan enjin pertumbuhan negara.
Menurut Dr Mahathir, kerajaan dengan sendiri tidak boleh menjana kekayaan, tetapi sekiranya diperkayakan menerusi pengumpulan cukai daripada masyarakat yang sangat makmur, maka negara akan menjadi lebih baik.
Beliau berkata kerajaan juga mahu menggalakkan pelaburan langsung asing bagi industri teknologi tinggi bagi menangani isu penggangguran dalam kalangan lepasan ijazah.
Menurutnya, Malaysia adalah lokasi pelaburan yang baik dengan tenaga kerja mahir untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti.
“Kita boleh melatih rakyat Malaysia menghasilkan produk berkualiti tinggi yang boleh diterima pasaran dunia. Kerajaan sedang mengkaji cara untuk menambah baik produktiviti di negara ini dan bukan hanya menumpukan semata-mata kepada meningkatkan paras pendapatan,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, kerajaan dengan sendiri tidak boleh menjana kekayaan, tetapi sekiranya diperkayakan menerusi pengumpulan cukai daripada masyarakat sangat makmur, negara akan menjadi lebih baik.
Beliau berkata kerajaan juga mahu menggalakkan pelaburan langsung asing bagi industri teknologi tinggi bagi menangani isu penggangguran dalam kalangan lepasan ijazah.
Menurutnya, Malaysia adalah lokasi pelaburan yang baik dengan tenaga kerja mahir untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti.
“Kita boleh melatih rakyat Malaysia menghasilkan produk berkualiti tinggi yang boleh diterima pasaran dunia. Kerajaan sedang mengkaji cara untuk menambah baik produktiviti di negara ini dan bukan hanya menumpukan semata-mata kepada meningkatkan paras pendapatan,” katanya.
Beliau berkata pendapatan tinggi sahaja tidak membantu rakyat kerana apabila anda memiliki pendapatan tinggi dan harga segala-galanya meningkat, kuasa beli akan tetap sama.
“Bagi rakyat untuk merasai manfaat pendapatan tinggi, adalah menerusi peningkatan produktiviti, membolehkan kos pengeluaran kekal rendah. Ini boleh dicapai menerusi beberapa langkah, antara lainnya, latihan lebih baik, pengurusan lebih cekap dan automasi,” kata Dr Mahathir.
Mengenai pekerja asing, beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang mengkaji untuk merangka dasar yang lebih baik bagi mereka.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan menggalakkan orang asing yang pintar dan mempunyai kemahiran untuk datang dan tinggal di Malaysia dan mereka juga boleh memohon kerakyatan Malaysia.
Dr Mahathir berkata, sebelum ini, dasar kerajaan tidak memberikan kerakyatan kepada orang asing.
“Sekarang, sekiranya orang asing datang dengan memiliki kemahiran tertentu yang kita perlukan, mereka akan dipelawa untuk tinggal di negara ini dan malahan menjadi warga negara sekiranya mereka mahu,” katanya.
Mengenai Koridor Raya Multimedia (MSC), beliau berkata kerajaan akan berusaha untuk memulihkannya kerana ia menyimpang daripada objektif asalnya.
“Kita mewujudkan Cyberjaya untuk menumpukan kepada teknologi tinggi, industri elektronik dan teknologi maklumat di sana, namun ia telah menjadi hanya satu lagi bandar dengan pembangunan perumahan yang biasa,” katanya.
Dr Mahathir berkata dengan dasar bagi MSC kembali kepada objektif awalnya, lebih banyak syarikat dijangka memindahkan kilang mereka dan makmal penyelidikan di sana.
“Ini akan membolehkan koridor itu kembali rancak sekali lagi seiring dengan namanya. Kita akan sediakan sebanyak mungkin prasarana bagi menarik sekali lagi pelabur ke Cyberjaya terutamanya dan ke koridor itu,” katanya.