
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh itu selepas kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapannya.
Peguam Azlina Mehtab yang mewakili Marzuki memaklumkan kepada pemberita, petisyen itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah.
Pada 12 Jun lepas, Marzuki yang juga pengerusi PPBM Pulau Pinang memfailkan petisyen itu dengan menamakan calon Barisan Nasional (BN) yang memenangi kawasan itu Datuk Shabudin Yahaya sebagai responden pertama , Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri bagi Bahagian Pilihan Raya P042 Tasek Gelugor sebagai responden ke-2 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ke-3.
Dalam permohonannya, Marzuki selaku pempetisyen memohon agar pilihan raya kecil bagi Parlimen Tasek Gelugor diadakan.
Selain itu, beliau turut memohon pengiraan undi dibuat semula berikutan dalam Perkara Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, calon berhak meminta kiraan semula apabila keputusan itu hanya terdapat perbezaan kurang 4%.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Marzuki yang bertanding atas tiket PKR tewas kepada Shabudin dengan majoriti hanya 81 undi. Marzuki memperoleh 18,466 undi berbanding Shabudin (18,547) manakala calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan memperoleh 14,891 undi.