Penduduk kondominium di Ampang bimbang tentang projek haram

Penduduk kondominium di Ampang bimbang tentang projek haram

Selain tidak tahan dengan gangguan akibat bunyi bising daripada tapak pembinaan itu sejak penghujung tahun lepas, mereka juga bimbang ia mendatangkan risiko tanah runtuh.

Free Malaysia Today
Kondominium Mutiara. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sebuah projek perumahan bertingkat yang didakwa dibangunkan secara haram dan terlalu hampir dengan kawasan perumahan Kondominium Mutiara di Ampang menimbulkan kebimbangan dan rasa kurang selesa bagi kira-kira 1,000 penghuninya.

Selain tidak tahan dengan gangguan akibat bunyi bising daripada tapak pembinaan itu sejak penghujung tahun lepas, mereka juga bimbang ia mendatangkan risiko tanah runtuh sehingga boleh memusnahkan ruangan parkir dan kenderaan penghuni kondominium itu yang terletak bersebelahan dengan lokasi projek berkenaan.

Seorang ahli jawatankuasa penduduk kondominium itu, Junaidi Johari menggesa kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) agar mengambil tindakan terhadap pemilik projek itu memandangkan ia boleh mendatangkan kesan buruk jika diteruskan.

“Kami juga dimaklumkan projek itu tidak mendapat kelulusan MPAJ, sehingga kini kami masih tidak tahu jenis projek ini dan berapa tingkat ia akan dibangunkan kelak dan setakat ini sudah 2 tingkat projek ini dibangunkan.

“Masalah ini perlu diberi perhatian serius kerana kerja binaan itu tetap diteruskan walaupun sebelum ini pernah dikenakan tindakan oleh pihak MPAJ seperti notis berhenti kerja, projek itu berjalan hingga ke malam termasuk pada Sabtu dan Ahad,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, projek berkenaan juga didapati beroperasi tanpa mengikut garis panduan keselamatan dengan tiada zink penghadang selain tidak memaparkan sebarang papan tanda dan notis pemberitahuan akan projek itu sehingga mendatangkan rasa gelisah buat penduduk sekitar.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad mengesahkan projek itu berjalan tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak MPAJ dan mereka yang berada di tapak binaan itu juga gagal menunjukkan sebarang bukti hak milik tanah sah.

Beliau berkata, susulan aduan dibuat oleh penduduk pada 11 Oktober tahun lepas, MPAJ dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat memantau lokasi terbabit sejak Oktober.

“Sepanjang tempoh pemantauan itu, MPAJ menutup tapak itu sebanyak 3 kali dan mengeluarkan notis berhenti kerja melalui Akta Perancang Bandar dan Desa, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, selain memberi notis dan kompaun, tapak disita, lawatan berkala serta maklumat balas surat rayuan.

“Pada 12 Jun lalu, MPAJ merobohkan sebahagian tiang daripada binaan rumah berkenaan dan beberapa bahan binaan seperti beg simen telah disita selain tapak projek itu ditutup,” katanya.

Bagaimanapun, Norhayati berkata MPAJ juga tidak teragak-agak untuk merobohkan keseluruhan binaan projek itu jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.