Ahli politik Umno ‘rapat’ dengan Rosmah tawar bina lapangan terbang ke-3?

Ahli politik Umno ‘rapat’ dengan Rosmah tawar bina lapangan terbang ke-3?

Menurut satu dokumen, idea itu diusulkan kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan menerima sokongan daripada syarikat penerbangan tambah murah.

Free Malaysia Today
Rosmah Mansor mahu membina lapangan terbang baharu untuk suaminya dalam cita-cita menjadikan Sepang sebagai “Dubai of Asia”. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang ahli politik Umno yang digambarkan sebagai “kawan rapat” Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, mengusulkan pembinaan terminal penerbangan tambah murah (LCCT) untuk suaminya dalam cita-cita menjadikan Sepang sebagai “Dubai of Asia”, menurut dokumen yang dilihat FMT.

Difahamkan, cadangan itu juga mendapat sokongan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, di mana pengerusi eksekutifnya mengeluarkan surat sokongan untuk penelitian terperinci oleh bekas perdana menteri itu.

Idea lapangan terbang baharu itu adalah yang ke-3 selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Ia pertama kali diumumkan bekas timbalan menteri pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi pada 2015.

Dua tahun kemudian, ahli politik itu menerusi syarikatnya mengusulkan idea tersebut dengan mencadangkan lapangan terbang baharu itu menjadi hub utama bagi syarikat penerbangan tambang murah di Asia.

Sumber memberitahu FMT, beberapa minggu sebelum pilihan raya 9 Mei lalu yang menyaksikan kekalahan teruk Barisan Nasional, beberapa individu “berpengaruh” daripada syarikat itu “mengadakan mesyuarat mengejut”.

“Tujuan mereka: mempercepatkan proses kelulusan untuk pembinaan 3 LCCT di KLIA, Kota Kinabalu dan Langkawi,” katanya.

Menurut surat oleh pengarah syarikat tersebut yang bertarikh 24 November 2017, lapangan terbang baharu di Sepang itu akan digunakan untuk syarikat penerbangan tambang murah, sementara klia2 yang kini menjadi terminal tambang murah berdekatan KLIA dan pendaratan syarikat penerbangan seperti AirAsia akan menjadi terminal premium.

Dalam cadangan itu, dinyatakan terminal baharu itu dapat mengendalikan 60 juta penumpang setahun dan akan memenuhi keperluan pengembangan Malaysia Airlines dan AirAsia.

FMT tidak dapat mengenal pasti identiti ahli politik terbabit, tetapi difahamkan beliau pernah dihalang daripada bertanding dalam pemilihan Umno atas dakwaan rasuah dan politik wang.

Dalam suratnya kepada Najib, beliau berkata syarikatnya akan membiayai bahagian sektor swasta, pembinaan dan pengurusan lapangan terbang.

Lapangan terbang baharu itu yang dikenali “LCCT2” dalam surat tersebut, akan dibina di atas tanah seluas 450 ekar, menurut dokumen itu.

“Adalah dicadangkan tanah untuk LCCT2 diperuntukkan melalui pemindahan hak milik tanah dari Jabatan Tanah dan Galian kepada Kementerian Pengangkutan yang kemudiannya akan memperuntukkan tanah itu untuk LCCT2 dengan pajakan 99 tahun.

Kelihatan, cadangan pembinaan LCCT tersebut tidak akan menjadi kenyataan di bawah kerajaan baharu. Pada Mac lalu, Malaysia Airport Holdings dilaporkan menolak idea itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.