
Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dalam kenyataan berkata saman itu berkaitan laporan di media cetak dan dalam talian mengenai SPSP dan penglibatannya sebagai pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di ibu negara.
Saman terhadap New Straits Times Press (Malaysia) Bhd dan wartawan, Che Wan Badrul Alias, difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, melalui tetuan Reza Rahim & Rajivan.
“BH mengenepikan prinsip kewartawanan yang adil dengan mengeluarkan laporan tanpa maklumat yang tepat sehingga menyebabkan reputasi SPSB tercalar dan kehilangan projek besar yang sedang dilaksanakan.
“BH secara melulu membuat tuduhan bahawa SPSB secara salah memindahkan aset milik Felda sehingga menyebabkan Felda mengalami kerugian,” kata SPSB.
SPSB memohon injunksi ke atas pihak terlibat untuk tidak mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah, ganti rugi RM250 juta daripada penerbit dan wartawan, serta permohonan maaf.
Sebelum ini, SPSB 4 Jun lepas dilapor menuntut ganti rugi RM100 juta daripada bekas pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad kerana kenyataan berkaitan isu tanah itu.
Shahrir berkata tidak pernah seorang bekas pengerusi agensi kerajaan disaman syarikat swasta, dan kenyataan ketika itu berlandaskan persetujuan ahli lembaga pengarah Felda, Unit Kawal Selia Felda di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.
“Saya tidak tahu adakah ini tindakan bermotifkan politik tetapi apa yang saya tahu, mereka (SPSB) sudah berjumpa Majlis Penasihat Kerajaan pada 31 Mei lalu,” kata Shahrir menurut laporan BH.
Pada 21 Disember 2017, BH melaporkan Felda dikatakan bakal kehilangan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM200 juta susulan pertukaran hak milik menerusi transaksi yang meragukan sejak 2015.
Menurut sumber BH, pindah milik tanah itu berlaku apabila Felda Investment Corporation (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberi surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.
Menurut laporan itu, tanah itu didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.