
Amirudin berkata beliau tidak mahu mengumumkan hari ini tetapi akan membuat satu pengumuman penting dalam tempoh sebulan lagi.
“Saya tak nak umum. Saya hanya akan umum selepas saya buat. InsyaAllah tak lama sebulan.
“Jadi tak lama ada pengumuman penting sesuai dengan perubahan pucuk pimpinan FAS dan pendirian kita (kerajaan negeri) konsisten dari awal lagi,” katanya pada sidang media di pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menyelesaikan isu penggunaan stadium SSA selepas menjadi menteri besar.
Pada 1 Februari lalu, Amirudin yang ketika itu merupakan exco sukan Selangor dilaporkan berkata, kerajaan negeri masih berunding dengan FAS bagi menyelesaikan kemelut penggunaan SSA supaya ia boleh digunakan sebagai gelanggang tuan rumah.
Amirudin berkata, pihaknya menyedari ada desakan daripada penyokong Selangor, tetapi kerajaan negeri perlu konsisten dengan keputusan sebelum ini.
Pada 6 Jun lalu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddin Idris Shah mengesahkan bersetuju menerima tawaran sebagai presiden FAS.
Pengumuman positif bagi menyandang jawatan kepimpinan FAS tersebut dibuat menerusi satu kenyataan rasmi daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Sebelum ini media melaporkan Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan peletakan jawatan beliau selaku presiden FAS dan kerusi itu bakal diisi oleh Tengku Amir Shah dalam Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa yang akan diadakan pada 3 Julai ini.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pelantikan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail sebagai exco Selangor menjadikan Selangor negeri pertama mempunyai 30% exco wanita.
Beliau berkata ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga bangga dengan pencapaian itu berikutan negeri itu diterajui oleh PKR.
Teka-teki calon menteri besar Selangor yang baharu terjawab apabila Amirudin mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, pagi ini.
Rodziah pula dilantik menggantikan Amirudin sebagai exco pembangunan generasi muda, sukan, kebudayaan dan pembangunan usahawan.