Kami tak teruja beraya tanpa Thaqif, kata ibu pelajar tahfiz

Kami tak teruja beraya tanpa Thaqif, kata ibu pelajar tahfiz

Felda Wani Ahmad berkata, keluarganya tidak teruja menyambut Aidilfitri tahun ini selepas pemergian anak ketiganya akibat jangkitan kencing tikus, April 2017.

Free Malaysia Today
Felda Wani Ahmad bergambar dengan suami dan 4 anaknya pada raya tahun lalu, tidak lama selepas pemergian Mohamad Thaqif Mohd Gaddafi.
PETALING JAYA:
Ini adalah tahun ke-2 keluarga Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi menyambut Aidilfitri tanpa pelajar tahfiz berusia 11 tahun itu yang meninggal dunia selepas kehilangan kedua-dua kakinya akibat jangkitan kuman dan pembekuan darah, tahun lalu.

Ibu pelajar itu, Felda Wani Ahmad berkata, raya tidak lagi meriah seperti dahulu kerana keluarganya tidak teruja menyambut Aidilfitri selepas pemergian Thaqif akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.

“Tak ada teruja nak cari baju raya, kasut raya ke…macam hambar. Dulu orang sediakan baju (raya) awal-awal, sekarang tak ada dah.

“Tahun lepas, sebelum dia meninggal, saya dah tempah baju awal-awal, tapi dia tak sempat pakai. Tapi, tahun ini tak ada (baju raya). Kainnya ada, tapi tak buat lagi. Perasaan raya tak ada lagi,” katanya kepada FMT.

Free Malaysia Today
Tahfiz Hadif yang berusia 7 tahun mengikut jejak abangnya belajar di sebuah madrasah di Kota Tinggi.

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April 2017 selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.

Kedua-dua kaki pelajar itu dipotong selepas dijangkiti kuman dan tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada 26 April tahun lalu.

Felda Wani pernah mempertikaikan pemotongan kaki anaknya, jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan awal.

Tiga bulan kemudian, beliau redha dan menerima laporan bedah siasat yang mengesahkan anaknya meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus, bukannya trauma atau kecederaan akibat dipukul, kerana tiada guna mencabar keputusan Kementerian Kesihatan memandangkan anaknya sudah tiada.

Kini, selepas setahun, Felda Wani yang juga seorang guru berkata, apa yang berlaku ialah ketentuan Allah.

“Saya berserah kepada Allah sebabnya dia yang mengetahui segala-galanya. Kalau kita cakap lebih-lebih nanti (orang cakap) kita nak burukkan sebelah sana. Saya terima sahaja (apa yang berlaku).”

Inkues

Katanya, inkues mencari punca kematian anak ke-3 beliau sudah diadakan 2 kali, iaitu April dan Mei lalu.

Beliau berharap inkues itu akan berpihak kepada keluarganya bagi mengelakkan masyarakat terus “memandang serong” terhadap mereka.

“Selepas keputusan (laporan bedah siasat Thaqif diumumkan), kita merasa sedih macam kita pula buat cerita pasal madrasah. Jadi, saya berharap inkues itu berjalan secara telus.”

Adik Thaqif belajar di sekolah tahfiz

Sementara itu, Felda Wani berkata, anak ke-4 berusia 7 tahun, Mohamad Tahfiz Hadif turut mengikut jejak abangnya belajar di sebuah madrasah lain di Kota Tinggi, tetapi beliau tidak tinggal di asrama.

“Masa awal pendaftaran hari itu, dia (Tahfiz Hadif) memang tak nak sekolah rendah, dia nak ikut abangnya. Jadi saya ikutkan.

“Macam arwah dulu pun (kita) ikut minat dia. Memang darjah 1 sampai 4 dia sekolah rendah Islam. Dia nak, dia rasa boleh, kita tak paksa. Macam adik dia (Tahfiz Hadif), dia sendiri nak (belajar di madrasah).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.