Agong: Institusi raja bukan hanya simbol untuk diperlaku sesuka hati

Agong: Institusi raja bukan hanya simbol untuk diperlaku sesuka hati

Sultan Muhammad V mengingatkan rakyat tidak mengambil mudah institusi raja dan tidak mengikut budaya Barat yang bertindak bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan baik serta buruk kepada negara.

Free Malaysia Today
Sultan Muhammad V berkata, institusi raja bukan sekadar simbol, tetapi ia bertanggungjawab besar dalam menstabilkan keadaan dan negara apabila sesuatu krisis berlaku. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rakyat diminta tidak mengambil mudah dan diperbuat sesuka hati institusi raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan raja berperlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bertitah ini kerana ia adalah institusi yang diiktiraf secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, baginda bertitah hal itu perlu diambil berat semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakan mereka bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan baik dan buruk kepada negara.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat beta, sewajibnya bukan sekadar diambil daripada sudut simbol semata-mata, namun ketahuilah institusi ini ada tanggungjawab amat besar, apabila berlakunya sesuatu krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak menjadi kemudaratan kepada rakyat dan negara,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, malam tadi.

Umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri hari ini.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulur tangan saling bermaaf-maafan dalam menyambut ketibaan 1 Syawal.

Sultan Muhammad V juga bertitah rakyat perlu menyuburkan budaya kunjung-mengunjung di hari yang mulia ini bagi mengeratkan silaturahim.

“Hentikanlah dan lupakan pertelingkahan sesama umat sempena hari yang mulia ini. Jauhi fitnah memfitnah kerana dosa fitnah lebih dashyat daripada membunuh.”

Baginda turut bertitah masyarakat Melayu Islam khususnya akan hanya kekal diberkati jika bersendikan adat dan bertunjangkan syarak.

“Justeru, sempena menyambut hari lebaran Syawal yang mulia ini, jadikanlah apa yang beta titahkan ini sebagai satu pesanan yang bermakna daripada raja kepada rakyat dan negara yang dikasihi.

“Beta harapkan semoga dengan tarbiah di madrasah Ramadan selama sebulan mampu menjadikan kita insan bertaqwa dan kembali kepada fitrah, yang bakal melahirkan modal insan berkualiti tinggi dan berintegriti untuk memacu reformasi ke arah mencapai negara maju.

“Makmur dan mendapat pengampunan Allah (Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur).”

Sultan Muhammad V turut berpesan kepada rakyat yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.

“Berhati-hati memandu, elakkan kemalangan supaya kita tidak bersedih dalam kegembiraan.

“Harapan beta semoga sambutan Aidilfitri kali ini memberi makna dan impak yang besar kepada kita dalam melaksanakan tugas sebagai hamba Allah Subhanahu Wata’ala dan khalifah di bumi Allah ini.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.