
Menerusi kenyataan Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata Sultan Johor menerima permohonan maaf itu tanpa sebarang syarat.
“Dengan nasihat dan persekutuan Jemaah Majlis Diraja serta mengambil berkat bulan Ramadan dengan limpah keikhlasan, tuanku berkenan menerima permohonan tersebut.
“Dan mengampunkan Kamal tanpa apa-apa syarat. Tuanku berharap Kamal dapat meneruskan kehidupannya dengan sejahtera, aman dan damai,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook.
Kamal Hisham sebelum ini ditahan kira-kira 900 hari sebelum ditangkap di Singapura pada 2 September 2015, selepas menghilangkan diri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bekas rakan kongsi Sultan Johor untuk sebuah syarikat itu dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan pertuduhan mengikut Akta Syarikat.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Kamal Hisham didakwa menggunakan 2 syarikatnya untuk memasuki perjanjian penyewaan ruang niaga bernilai RM515,000 dan RM18,000 di bangunan JB Sentral tanpa persetujuan Lembaga Pengarah syarikat Southern Ads pada Disember 2009 dan Oktober 2010.
Di bawah pertuduhan Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 pula, dia didakwa menerima 9 keping cek berjumlah RM149,518.33 yang merupakan hasil aktiviti haram di Bank Muamalat Malaysia Bhd cawangan Taman Johor Jaya antara 18 Mac dan 5 Ogos 2010.
Sewaktu pertuduhan di mahkamah pada Februari, peguam mewakili Kamal, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memohon anak guamnya dibebaskan kerana terdapat keterangan pihak pendakwaan tidak dapat dibuktikan.
“Pihak pembelaan antara lain menghujahkan tentang kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Sultan Ibrahim sebagai saksi pendakwaan.
“Kita mempunyai 30 hingga 40 sebab mengapa Sultan Ibrahim perlu dipanggil sebagai saksi pendakwaan, namun pihak pendakwaan gagal berbuat demikian,” kata Khairul.
Khairul dalam Facebooknya hari ini berkata, pihaknya sedang dalam proses menguruskan urusan pentadbiran dan dokumentasi dengan Jabatan Peguam Negara untuk pembebasan Kamal Hisham.
“Di sebabkan kesuntukan masa untuk cuti Aidilfitri, kemungkinan Kamal Hisham hanya boleh dibebaskan pada minggu pertama selepas cuti Aidilfitri,” katanya.
Terdahulu, terdapat pertikaian di antara pihak Istana Johor dan Kamal Hisham yang pernah berurusan dengan keluarga diraja itu selama 17 tahun.
Pada 2012, Kamal Hisham melalui laporan berita berkata, mendapat beberapa “ugutan bunuh” dipercayai dibuat seorang kerabat diraja yang dimaklumkan kepada polis. Bagaimanapun tidak mendedahkan sifat ugutan yang diterimanya.