
Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata 2 lelaki terbabit juga menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan.
“Berdasarkan rekod MPK, kali terakhir peniaga tersebut memohon lesen berniaga di tapak bazar tersebut adalah pada 2014 dan untuk kes pergaduhan ini, siasatan mendapati mereka menjalankan operasi tanpa lesen.
“Sebenarnya mereka juga tidak dibenarkan berniaga di tapak bazar Jalan Taiping itu kerana kawasan tersebut dikhususkan untuk jualan barangan kering sahaja seperti pakaian, aksesori dan kuih raya. Jualan minuman pula hanya dibenarkan minuman dalam tin, tetapi mereka ini berniaga minuman di dalam balang minuman,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, sebelum insiden itu berlaku, penguat kuasa MPK sudah memberi amaran kepada peniaga berkenaan untuk menghentikan operasi mereka sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
Yasid bagaimanapun berkata, peniaga terbabit tidak mengendahkan amaran itu dan tetap meneruskan operasi perniagaan mereka sehingga memaksa penguat kuasa mengambil tindakan merampas perkakasan dan barang jualan mereka.
“…kali terakhir kita bagi amaran adalah sehari sebelum hari kejadian (Jumaat) dan ketika itu peniaga bersetuju untuk tidak berniaga, bagaimanapun ketika pemeriksaan dibuat, iaitu pada hari kejadian, perniagaan mereka masih beroperasi.
“Peniaga tidak berpuas hati dan cuba menghalang penguat kuasa menjalankan tugas sehingga berlaku insiden pergaduhan membabitkan peniaga dan penguat kuasa.”
Yasid berkata, insiden seperti itu tidak akan berlaku sekiranya peniaga terbabit mengikut peraturan ditetapkan MPK.
Beliau berkata, MPK tidak hanya membuka tapak berniaga di Jalan Taiping kerana lebih 1,300 tapak perniagaan disediakan pihaknya di sekitar Klang.
“Mereka ini boleh memohon lesen dan kita akan bagi tapak dengan sewa hanya RM10 sehari di kawasan sesuai.”
Semalam, polis Klang Utara menahan 2 peniaga itu yang berumur 18 dan 41 tahun di perkarangan Balai Polis Sungai Kapar Indah, di sini, ketika memberi keterangan berhubung kejadian itu kira-kira 5 pagi.