Laporan: Pengerusi, pengarah Petronas dijangka letak jawatan

Laporan: Pengerusi, pengarah Petronas dijangka letak jawatan

The Edge Markets melaporkan Mohd Sidek Hassan yang mempengerusikan RCI kerugian forex BNM dan Mohd Omar Mustapha, dijangka melepaskan jawatan mereka.

KUALA LUMPUR:
Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Mohd Sidek Hassan dijangka meletak jawatan tidak lama lagi, lapor The Edge Markets hari ini.

Sumber yang dipetik portal itu berkata, Datuk Mohd Omar Mustapha, pengerusi Jawatankuasa Ganjaran Petronas turut dijangka melepaskan jawatannya.

Menurut laporan itu, kemungkinan pemergian Sidek dan Omar menimbulkan persoalan sama ada ini akan membuka laluan kepada bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Mohd Hassan Marican kembali ke Petronas.

Hassan ialah anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga pengerusi Sembcorp Marine Ltd dan penasihat kanan antarabangsa di Temasek International Advisors.

Menurut laporan itu, Sidek dan Omar menyertai Petronas sekitar masa Hassan meninggalkan Petronas pada 10 Februari 2010.

Sidek dilantik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mempengerusikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

RCI itu dalam laporannya kepada Parlimen pada November tahun lalu, menyimpulkan ada elemen menyembunyikan fakta dan maklumat berkaitan kerugian forex yang dialami BNM serta kenyataan mengelirukan diberi kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

Laporan itu berkata, BNM mengalami kerugian RM31.5 bilion antara 1992 dan 1994. RCI mencadangkan polis membuka siasatan ke atas kemungkinan berlaku jenayah pecah amanah atau penipuan oleh pelbagai pihak, termasuk Dr Mahathir dan menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sidek, 67, ialah bekas ketua setiausaha negara dan menjadi pengerusi Petronas sejak 1 Julai 2012.

Omar, 47, ialah pengerusi Jawatankuasa Ganjaran Petronas sejak 2015 dan ahli lembaga pengarah bebas bukan eksekutif syarikat minyak nasional itu. Beliau dilantik ke lembaga pengarah itu pada 15 September 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.