Polis siasat anggota sendiri selepas Jamal larikan diri

Polis siasat anggota sendiri selepas Jamal larikan diri

Polis Selangor berkata tindakan akan diambil jika ada anggota bertugas didapati cuai.

PETALING JAYA:
Polis akan mula menyiasat anggota sendiri selepas Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berjaya melarikan diri daripada Hospital Pakar Ampang Puteri 25 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata tindakan akan diambil jika ada anggota bertugas didapati cuai.

“Kalau wujudnya elemen kecuaian kita akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Jamal selepas pemimpin Umno itu didapati hilang selepas 3 pertuduhan dibacakan terhadapnya di Hospital Pakar Ampang Puteri 25 Mei lalu, di mana beliau sedang dirawat.
Jamal nafi melarikan diri dari pihak berkuasa, menegaskan ia cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah diselesaikan pada hari kejadian.
Jamal berdepan 3 pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hospital, iaitu untuk tuduhan melakukan mudarat dengan mempamerkan senjata api berdasarkan gambar tular di media sosial, melakukan mudarat di kawasan awam apabila memecahkan botol arak menggunakan penukul besi sebagai simbolik bantahan terhadap pesta arak, dan yang ketiga dipercayai kerana menceroboh sebuah pusat judi haram di Ampang.
Beliau mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan pemimpin Umno itu diikat jamin RM3,000 bagi setiap kes.
Polis berkata terdapat baki 6 kes lagi melibatkan Jamal selain daripada 3 kes yang sudah dituduh.
Jamal dikatakan berada di luar negara dan Mazlan berkata polis meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk mengesan pemimpin Umno itu.

“Serah diri lah. Apa nak tunggu-tunggu lagi bagi menyusahkan buat apa,” katanya.

Di ladang kelapa sawit, Jamal Yunos rayu perlindungan Muhyiddin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.