
Syarikat itu selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil dengan menamakan Shahrir atas kapasiti peribadinya, sebagai defendan tunggal.
Syarikat berkenaan mendakwa Shahrir yang ketika itu pengerusi Felda mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan itu menyebabkan reputasi mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek yang sedang diusahakan.
Syarikat itu menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan tersebut serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang sesuai.
Turut hadir bagi pihak Synergy ialah Pengarah Urusan dan Pembangunan, Datuk Marina Hashim bersama peguamnya Mohamed Reza Rahim dan Rajivan Nambiar.