
Bekas perdana menteri berkata, kerajaan PH perlu menjalankan kajian dan memberikan penerangan komprehensif kepada rakyat serta pelabur mengenai analisa kos serta manfaat projek itu secara keseluruhan.
“Bukannya mengambil mudah dengan memberikan jawapan cetek tanpa membuat kajian teliti.
“Saya terkejut mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sambil lewa menyatakan kita ‘tidak untung sesen’ dan akan membayar pampasan RM500 juta kepada Singapura,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik ke Facebook hari ini.
Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan Malaysia akan membatalkan projek itu dan mungkin perlu membayar pampasan RM500 juta kepada Singapura.
Beliau turut menyangkal dakwaan keputusan membatalkan projek HSR dibuat tanpa dibincangkan dalam Kabinet kerana ia sebahagian daripada manifesto PH.
Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, hasil kajian selama beberapa tahun yang dijalankan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu menunjukkan hasil keluaran dalam negara kasar (KDNK) projek HSR sebanyak RM209 bilion berbanding kosnya RM70 bilion.
“Sumber pendapatan projek pemangkin ekonomi HSR menjangkaui jualan tiket, tetapi dari segi peningkatan nilai hartanah, kewujudan 442,000 peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, kepesatan ekonomi setempat dan pelancongan.”
Katanya, sepanjang 9 tahun menjadi perdana menteri, beliau menyediakan pelbagai kemudahan dan program bantuan demi kesejahteraan serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
“Projek pemangkin ekonomi dan bantuan-bantuan yang kerajaan BN tinggalkan untuk dinikmati rakyat Malaysia adalah Lebuhraya Pan Borneo, MRT, PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia), Projek Rapid Pengerang, Lebuhraya CSR (Pahang-Kota Bharu), Jambatan Pulau Pinang 2, Kota Iskandar dan banyak lagi.”