Khairy saran Azlan cari calon lain jadi MB Perlis

Khairy saran Azlan cari calon lain jadi MB Perlis

Ketua Pemuda Umno berkata calon berkenaan seharusnya yang boleh diterima semua pihak.

KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan Datuk Seri Azlan Man mencari calon lain yang boleh diterima semua pihak untuk menjadi menteri besar bagi menyelesaikan kemelut di Perlis.

“Itu kalau sayalah yang kendalikan. Itu yang saya akan usahakan tapi saya hanya calon naib presiden,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, BN Perlis memutuskan untuk menghantar 11 nama baru termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim kepada istana.

Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, 11 nama itu terdiri daripada 9 Adun dan 2 Ahli Parlimen.

Khairy berkata Azlan harus mencari penyelesaian dengan segera kerana sehingga hari ini Azlan belum boleh melantik jemaah exco kerajaannya.

“Ini akan menghalang pentadbiran BN Perlis,” katanya, dan menambah keadaan ini memburukkan imej Umno.

Sementara itu, Khairy menolak cadangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mencadangkan Umno dan PAS bergabung bagi mewujudkan blok pembangkang yang kuat.

Khairy berkata Umno mahu menjadi pembangkang yang berwibawa dan tidak membuta tuli.

“Saya tidak setuju bergabung secara rasmi. Kita akan bekerjasama dan lihat kepada isu,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini berkata kedua-dua parti itu perlu bergabung pemikiran dan tenaga untuk mewujudkan satu blok baru yang kuat, yang berperanan menjaga kepentingan Melayu.

Tajuddin sebelum ini berkata gabungan Umno-PAS boleh memberi cabaran besar kepada Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.