Ikut Bersatu, kata Hadi berkait tindakan disiplin 5 Adun

Ikut Bersatu, kata Hadi berkait tindakan disiplin 5 Adun

Presiden PAS ulas pendirian terhadap lima wakil rakyat yang tarik balik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis.

abdul hadi awang
Hadi Awang berkata PAS pernah berdepan cabaran politik yang serupa sebelum ini, termasuk kejatuhan kerajaan negeri akibat rasa tidak puas hati dan lompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden PAS Hadi Awang menyerahkan kepada Bersatu sama ada mahu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adun parti itu yang menarik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis.

“Itu terpulang kepada Bersatu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Marang, Terengganu, ketika ditanya sama ada PAS dan Bersatu telah berbincang mengenai tindakan terhadap lima Adun berkenaan.

Apabila ditekan sama ada PAS mengharapkan Bersatu mengenakan tindakan, Hadi berkata perkara itu wajar diserahkan kepada hati nurani parti itu, sambil menegaskan kepentingan solidariti politik.

“Sepatutnya ada semangat setia kawan dan perlu saling mempertahankan,” katanya.

Bagaimanapun, Hadi enggan menyalahkan Bersatu secara keseluruhan, sambil menjelaskan bahawa parti itu terdiri daripada individu yang mempunyai pandangan dan pendirian dalaman yang berbeza.

“Kita tidak boleh menilai Bersatu secara keseluruhan kerana ia terdiri daripada ramai orang dengan pandangan yang berbeza,” katanya sambil menambah PAS memahami wujud perbezaan dalaman dalam parti itu.

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu dibuat ketika ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak susulan penarikan sokongan terhadap Shukri, yang meletakkan jawatan sebagai menteri besar semalam atas alasan kesihatan.

Sebelum ini, PAS telah menamatkan keanggotaan tiga Adunnya di Perlis iaitu – Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) kerana didakwa bersama Adun Bersatu menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis untuk menarik sokongan terhadap Shukri.

Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Selepas pendedahan mengenai SD itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap Adun terlibat.

Hadi turut mengingatkan PAS pernah melalui situasi politik yang hampir sama sebelum ini, termasuk kejatuhan kerajaan negeri akibat undi tidak percaya dan wakil rakyat berpaling tadah, namun parti itu tetap berpegang kepada prinsip kesetiaan dan disiplin.

“Kami pernah melalui keadaan seperti ini di beberapa negeri sebelum ini. Ada usul tidak percaya, wakil rakyat dibeli dan pelbagai perkara lain. Semua ini adalah ujian yang perlu kami hadapi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.