Farid Kamil buat filem subjek ‘cash is king’ karya Faisal Tehrani

Farid Kamil buat filem subjek ‘cash is king’ karya Faisal Tehrani

Farid berniat menerbitkan filem itu sejak 2013 tetapi tidak dapat diteruskan sehingga berlangsungnya PRU14 dan berlaku peralihan kuasa.

Free Malaysia Today
Farid Kamil bertemu dengan Faisal Tehrani  untuk berbincang mengenai filem ‘Misi’.

Pelakon dan pengarah terkenal Datuk Farid Kamil Zahari dikatakan sedang dalam perbincangan dengan penulis terkenal, Faisal Tehrani untuk menerbitkan sebuah filem baru berjudul “Misi”.

Filem yang masih di peringkat mencari dana ini dikatakan diadaptasi daripada sebuah teater yang pernah dimainkan beberapa tahun dahulu.

“Saya tertarik dengan teater ‘Misi’ yang mencerminkan cara hidup, pendekatan kebanyakan masyarakat Malaysia.

“Jalan cerita menunjukkan kepelbagaian watak masyarakat Malaysia yang apabila saya mendalaminya ia mengetengah subjek ‘cash is king’, hidup berkiblatkan kekayaan dan isu yang dekat dengan rakyat kita,” kata Farid kepada FMT Ohsem.

Jelas Farid lagi, beliau berniat menerbitkan filem itu sejak 2013 lagi tetapi disebabkan beberapa kekangan, ia tidak dapat diteruskan.

Sehinggalah berlangsungnya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan berlaku peralihan kuasa, Farid yakin ini masa sesuai untuk menerbitkan filem itu.

“Filem ini ada kaitan politik kerana mencerminkan bibit politik di Malaysia. Ia sangat relevan kerana bukti yang dikatakan dalam naskah tersebut memang relevan dengan apa yang pernah dan sedang berlaku sekarang,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai tarikh penggambaran, Farid akui pihaknya masih di tahap mencari dana dan sekiranya dana mencukupi, mereka akan mulakan sesi pencarian pelakon bagi memastikan pelakon yang benar-benar berwibawa membawa watak filem itu.

Selain bertanggungjawab selaku penerbit, Farid tidak menafikan kemungkinan beliau akan berlakon dalam filem tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.