
Ketua Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Timbalan Ketua Bahagian Pandan, Jamaludin Ropa mengesahkan menerima surat daripada Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung penamatan itu semalam.
Ismail bagaimanapun meminta pucuk pimpinan mempertimbangkan semula keputusan ini dan sekurang-kurangnya menyalurkan separuh daripada jumlah peruntukan itu.
Beliau menjelaskan peruntukan bulanan kepada Umno bahagian berjumlah RM10,000, yang kebiasaannya digunakan untuk membayar gaji kakitangan dan perbelanjaan operasi.
“Dalam keadaan Umno yang kalah ini, mungkin Tengku Adnan dan pimpinan beranggapan Umno perlu bangkit dari bawah.
“Tetapi bahagian yang tidak ada pendapatan bulanan, kebarangkalian untuk mengatur dan mengurus Umno mungkin agak berat…kita kehilangan punca,” katanya.
Jamaludin Ropa berkata keputusan pucuk pimpinan pasti akan membantutkan program-program parti, tetapi Umno harus belajar untuk bertahan.
“Kalau dulu PAS tidak ada peruntukan, tetapi boleh juga bertahan kerana komitmen padu dari akar umbinya,” katanya.
Jamaludin berkata peruntukan RM10,000 sebulan kepada bahagiannya digunakan untuk melancarkan program-program bahagian.
“Akhirnya, yang tinggal dalam Umno bukan lagi yang harapkan kemewahan tetapi pejuang. Kali ini kita kena berubah,” katanya.
Dalam surat yang dilihat FMT, Tengku Adnan memaklumkan penyaluran peruntukan bulanan terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018 selepas meneliti kedudukan kewangan parti.
“Bagaimanapun, diharapkan pihak bahagian dan sayap pergerakan bahagian dapat meneruskan pengoperasian bahagian sepertimana kebiasaan sebelum ini,” katanya.
Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa polis memulangkan wang RM114 juta yang dirampas di lokasi yang dikaitkan dengan bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.