
Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM), Datuk Mohd Zaini Hassan berkata isu sama ada UiTM terbuka atau tidak kepada bukan Bumiputera perlu selaras dengan sistem pendidikan negara.
“Kita tiada masalah sama ada UiTM dibuka atau ditutup kepada bukan Bumiputera… tetapi ia harus selaras dengan sistem pendidikan negara diguna pakai sekarang. Alasan saya mudah sahaja, selagi sistem pendidikan persekolahan masih lagi pelbagai aliran (mengikut kaum), selagi itulah saya rasa matlamat asal UiTM harus dikekalkan iaitu terus kekal untuk Melayu dan Bumiputera.
“Jika mahu bangkitkan isu ini, lebih baik kita selesai dahulu di peringkat persekolahan (sekolah rendah dan sekolah menengah) kerana pada peringkat ini akan berlakunya integrasi kaum dan sebagainya,” kata beliau dalam program Ala Carte Pagi bertajuk “Pertahankan UiTM” di Bernama Radio hari ini.
Pada 28 Mei lepas, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15% pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.
Mohd Zaini berkata semua pihak tidak seharusnya menimbulkan hasutan kepada masyarakat kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.
“Kita harus menghormati satu sama lain. UiTM boleh dibuka kepada pelbagai kaum tapi syaratnya sistem pendidikan berasaskan kaum seperti sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular perlu diubah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaini berkata satu petisyen dilancar bagi membantah cadangan kelonggaran kemasukan ke UiTM untuk bukan Bumiputera, di media sosial yang mendapat 156,713 tandatangan setakat ini.
“Jumlah tandatangan yang tinggi ini di luar jangkaan. Kalau kita tengok petisyen dalam talian, Change.org, 150,000 tandatangan merupakan penanda aras antarabangsa. Ini satu kejayaan. Terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang menyokong petisyen ini,” kata Mohd Zaini.