
Dr Wan Azizah, yang memegang portfolio pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sudah salah faham mengenai rancangan caruman untuk isteri itu.
“Dua peratus dalam 11%, tidak ada potongan tambahan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program lawatan turun padang di Rumah Ehsan, tempat perlindungan untuk warga emas yang uzur, daif dan tidak berwaris, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada kenyataan MTUC 24 Mei lalu yang membantah penggubalan undang-undang bagi mewajibkan seorang individu mencarumkan gaji untuk pasangan kerana gaji adalah milik peribadi.
Kadar caruman berkanun di pihak pekerja ditetapkan pada 11% untuk pekerja berusia bawah 60 tahun dan 5.5% untuk pekerja berusia 60 tahun ke atas.
Sebelum ini, Wan Azizah berkata kementerian akan menemui KWSP untuk menyerahkan pelan tindakan dan berbincang mengenai potongan caruman suami untuk isteri.
Ditanya apakah rancangan Pakatan Harapan ini juga untuk suami yang menjadi suri rumah, dan suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, Wan Azizah berkata perkara itu akan “dibincangkan kemudian”.
“Jumaat ini akan jumpa ketua pegawai eksekutif KWSP. Kita ada perincian. Nak iktiraf isteri-isteri akan diperincikan. Kes suami tidak bekerja dan lain-lain akan dibincangkan kemudian,” katanya.
Sementara itu, Wan Azizah menafikan khabar angin mengaitkan anaknya, Nurul Izzah dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
“Astaghfirullahalazim. Jangan dengar khabar angin,” katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hari ini menafikan mesej tular mendakwa beliau akan berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan berkata ada perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian.