
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu sekali lagi mempertahankan dirinya daripada dakwaan sebegitu, mengatakan ia cuma salah faham.
“Tentang kemelut yang sedang saya hadapi kononnya saya larikan diri dari reman dan kawalan polis, perkara ini tidak berlaku cuma salah faham. Untuk selesaikan kemelut ini, esok saya akan hadir di Ampang Jaya lebih kurang 2.00 petang,” katanya.
Jamal sebelum ini menafikan dia melarikan diri dari hospital selepas didakwa atas 3 pertuduhan kerana penahanan remannya memang sepatutnya berakhir pada hari itu.
Beliau juga mendakwa ada pihak tertentu cuba menggunakan pihak berkuasa untuk menzalimi dan membalas dendam kepadanya, susulan tuduhan demi tuduhan terhadapnya termasuk melarikan diri.
“Saya dibenarkan keluar oleh pihak hospital pada hari itu,” katanya menjawab laporan dia meninggalkan Pusat Perubatan Ampang Puteri, di mana beliau dirawat di wad premier bagi masalah sakit belakang, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata polis giat mengesan Jamal dan dibantu pelbagai agensi kerajaan termasuk imigresen.
Jamal berdepan 3 pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hospital, iaitu untuk tuduhan melakukan mudarat dengan mempamerkan senjata api berdasarkan gambar tular di media sosial, melakukan mudarat di kawasan awam apabila memecahkan botol arak menggunakan penukul besi sebagai simbolik bantahan terhadap pesta arak, dan yang ketiga dipercayai kerana menceroboh sebuah pusat judi haram di Ampang.
Beliau mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan pemimpin Umno itu diikat jamin RM3,000 bagi setiap kes.