
Beliau berkata kementerian itu sedang menyiapkan dokumen diperlukan selain mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak berkenaan sebelum mengemukakan cadangan berkenaan di Dewan Rakyat.
Mengakui tempoh penyediaan dokumen itu singkat sebelum sesi Dewan Rakyat bermula 25 Jun ini, Gobind menjelaskan akta itu tidak memerlukan masa yang terlalu panjang untuk disediakan.
“Ini bukan nak pinda atau bentang undang-undang baru, ini rang undang-undang untuk kita tarik balik undang-undang sedia ada… oleh itu, ia lebih jelas dan mudah berbanding membentangkan satu rang undang-undang baru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan sulungnya ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.