
Bekas pengerusi SPAD itu berkata kerajaan berhak memansuhkan agensi itu tetapi wajar bertemu lebih 1,000 kakitangan terkesan tentang rancangan untuk mereka.
“Kementerian Pengangkutan kena panggil kakitangan SPAD lebih lagi di bulan puasa dan dekat dengan perayaan Aidilfitri.
“Bila dengar pengumuman itu semua gelabah. Ada yang telefon saya tanya macam mana. Saya kata itu keputusan Kabinet sebab saya tidak ada dalam SPAD dan Kabinet. Mereka mesti sudah menilai dari semua aspek,” katanya.
Pembubaran SPAD diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu sidang media hari ini kerana pertindihan tugas. SPAD yang merancang, menyelia dan menguatkuasakan semua perkara berkaitan pengangkutan awam darat di Malaysia Barat berdasarkan kuasa yang diberikan Akta Pengangkutan Awam Darat ditubuhkan perdana menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Razak pada 2010.
Fungsi SPAD dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.
“Kita tunggu maklumat lengkap. Kalau sudah Kabinet buat keputusan tidak perlu merayu lagi. Jabatan dan agensi ditubuhkan oleh kerajaan dan mereka berhak memansuhkan. Semua pihak kena terima sahajalah,” katanya.
Syed Hamid semalam mempersoalkan gesaan menutup SPAD kerana beliau percaya ia masih diperlukan untuk transformasi pengangkutan awam.
Menurut Syed Hamid, SPAD berjaya merancang sektor itu “secara strategik”.
“Peranan paling penting SPAD adalah merancang, sama seperti Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA). Tiada apa yang salah dengannya,” katanya.
Teksi bergembira
Sebelum ini, Persatuan Teksi Kuala Lumpur-Selangor dan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) menggesa kerajaan memansuhkan SPAD dan menyerahkan fungsi agensi itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mereka hari ini bergembira dengan pengumuman oleh perdana menteri dan menyifatkan ia sebagai berita baik untuk para pemandu teksi.
“SPAD tidak beri apa-apa kebaikan pada kami sejak dilaksanakan, tetapi beri masalah kepada pemain industri. Pengumuman hari ini menunjukkan kerajaan baru kerajaan yang mendengar dan peduli suara rakyat,” kata Timbalan Pengerusi PERS1M, Kamarudin Mohd Hussain.
Setiausaha Persatuan Teksi Kuala Lumpur-Selangor, S Balakrishnan pula berkata para pemandu sentiasa mahukan pembubaran ini berlaku.
“Saya juga berharap akan ada perbincangan antara industri teksi dengan kementerian. Kami mahu membincangkan masalah lain yang kami hadapi.”
Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) Ajit Johl mengalu-alukan pengumuman hari ini kerana pihaknya selama ini mahu SPAD melapor kepada kementerian, dan bukan kepada Jabatan Perdana Menteri.
“Langkah ini akan memastikan ketelusan yang lebih baik, pengurusan yang lebih cekap, dan kurang campurtangan daripada pihak yang mempunyai kepentingan politik.”
4PAM berharap kerajaan akan menerima cadangan mewujudkan sebuah jawatankuasa kajian tarif pengangkutan awam dan ombudsman pengangkutan awam.