Ramkarpal: Representasi kepada peguam negara tiada kaitan politik

Ramkarpal: Representasi kepada peguam negara tiada kaitan politik

Peguam Lim Guan Eng dalam kes rasuah berkata pihaknya tidak masalah meneruskan kes jika peguam negara menolak representasi.

Free Malaysia Today
Ramkarpal berkata terpulang kepada peguam negara baharu untuk menggugurkan tuduhan terhadap Lim Guan Eng atau meneruskannya. (Gambar Youtube)
GEORGE TOWN:
Representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak ada kaitan dengan politik, kata peguamnya hari ini.

Ramkarpal Singh berkata memandangkan berlakunya perubahan dalam kerajaan, pihak pembelaan merasakan perlu untuk memfailkan representasi baharu berhubung tuduhan terhadap Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Beliau berkata sejak hari pertama, mereka kekal dengan pendirian bahawa dakwaan terhadap Lim dan Phang bermotifkan politik.

“Kami akan mencadangkan supaya dakwaan itu digugurkan. Sudah tentu, ia terpulang kepada peguam negara baharu untuk mempertimbangkan sama ada untuk menggugurkan dakwaan itu atau menerimanya.

“(Representasi ini kepada peguam negara) tidak ada hubungannya dengan politik sama sekali. Kami harap peguam negara yang baharu akan mempertimbangkan representasi baharu ini. Ia sepatutnya melihat kes itu dari sudut yang baru.

“Sudah tentu, jika peguam negara mengambil alih dan memutuskan untuk meneruskan kes itu, kami akan meneruskannya. Tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi selepas Hakim Hadhariah Syed Ismail menangguhkan prosiding pada 30 Julai.

Sebelum ini, peguam mewakili Lim dan Phang memohon penangguhan kes sementara menunggu representasi untuk mengkaji semula kes itu.

Lim, yang mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan di Istana Negara hari ini, tidak hadir di mahkamah.

Ramkarpal berkata Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek boleh mempertimbangkan representasi itu, atau menangguhkannya sehingga peguam negara baharu dilantik, yang dijangka pada Julai.

Pada 30 Jun 2016, Lim, 58 dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada zon perumahan kepada syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan keuntungan kepada dirinya dengan membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn Georgetown pada harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran RM4.27juta daripada Phang Li Koon pada 28 Julai 2015.

Phang dituduh bersubahat dengan Lim.

Ramkarpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata Pakatan Harapan sentiasa menyokong dan berusaha menegakkan kebebasan kehakiman. Beliau menambah kedaulatan undang-undang sangat penting.

Mengenai sama ada terdapat sebarang undang-undang bagi menghalang Lim daripada mengangkat sumpah sebagai menteri apabila kesnya masih belum dibersihkan, Ramkarpal berkata tidak.

“Seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Itulah prinsip asas. Oleh itu, tiada apa yang menghalang bekas ketua menteri itu daripada mengangkat sumpah hari ini. Tiada halangan untuknya mengangkat sumpah,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Lim hanya boleh dilantik secara rasmi sebagai menteri kewangan selepas dia dibebaskan dari kes rasuahnya.

Dr Mahathir berkata peraturan undang-undang mesti diikuti, dan kerajaan perlu menunggu sehingga Lim dibebaskan dari dakwaan sebelum beliau dilantik sebagai menteri.

Peguam: Peguam cara negara boleh tarik balik kes rasuah Guan Eng

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.