Kakitangan Utusan desak pengarah urusan letak jawatan, kata Zam

Kakitangan Utusan desak pengarah urusan letak jawatan, kata Zam

Zainudin Maidin berkata, Noordin Abbas gagal mengotakan janji untuk menjana pendapatan baru bagi Utusan dan wartawan tidak yakin dengan pimpinan Jabatan Pengarang dapat menyesuaikan diri dengan cita rasa pembaca.

PETALING JAYA:
Tan Sri Zainudin Maidin mendedahkan kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd mendesak Pengarah Urusannya, Datuk Noordin Abbas meletak jawatan dan Jabatan Pengarangnya disusun semula untuk memulihkan syarikat itu daripada kerugian dan terus kehilangan pembaca.

Zainudin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan berkata, desakan itu dibuat di depan Noordin dalam pertemuan dengan semua kakitangan Rabu lalu, di mana beliau memberi jaminan Umno akan terus memberi perhatian kepada nasib petugas dan kewangan syarikat itu.

“…tetapi beberapa orang yang bercakap mewakili kakitangan telah menolak jaminan itu,” tulisnya dalam blognya semalam.

Selasa lalu, FMT memetik sumber boleh dipercayai dalam Utusan Malaysia berkata, akhbar itu yang selama ini bergantung kepada kontrak kerajaan, walaupun jumlah pembacanya semakin merosot, berdepan ketidakpastian dengan kakitangannya digalakkan meletak jawatan.

Sebahagian besar dana Utusan datang daripada projek dikaitkan dengan Umno apabila berkuasa dalam kerajaan. Ini termasuk satu kontrak kontroversi untuk membekalkan lebih 180,000 unit tablet kepada guru di seluruh negara, tahun lalu dan tugas mencetak poster kempen untuk Barisan Nasional beberapa minggu sebelum pillihan raya pada 9 Mei lalu.

Ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) pula menggesa Umno melepaskan pegangan saham dalam Utusan.

Dalam laporan hari ini, satu sumber memberitahu FMT yang pengurusan tertinggi syarikat itu sudah memaklumkan penstrukturan semula besar-besaran sedang dirancang dan beberapa pegawai atas mungkin diberhentikan.

Zainudin berkata, Noordin mungkin berjaya mendapatkan bantuan kewangan untuk syarikat itu, tetapi beliau gagal mengotakan janji untuk membawa perniagaan baru, menyebabkan Utusan terpaksa bergantung kepada jualan akhbar dan majalahnya.

Beliau berkata, cadangan untuk terbabit dalam perniagaan seperti perumahan, teknologi maklumat dan komputer, serta pengiklanan luaran gagal menjana pendapatan baru untuk mempelbagaikan perolehan syarikat itu.

Katanya, ketika kakitangan membangkitkan soal perubahan hala tuju editorial, Noordin hanya berkata akan berbincang dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak yang didakwa sudah menyuarakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya.

“Jawapan tersebut mendukacitakan ramai wartawan yang tidak yakin dengan pimpinan Jabatan Pengarang Utusan Melayu sekarang dapat menyesuaikan diri dengan cita rasa pembaca yang tidak menyenangi dasar-dasar Utusan di era (Datuk Seri) Najib Razak, sebaliknya mereka akan meneruskan dasar sama yang menyebabkan Umno runtuh.

“Di samping itu, beberapa orang dari Jabatan Pengarang menuduh seorang, dua editor berlagak sebagai Napoleon kecil menjalankan dasar Utusan Melayu tanpa etika kewartawanan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan Utusan sehingga dibenci orang ramai.”

Utusan kesuntukan masa, kakitangan diberi peringatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.