Najib diminta ke pejabat SPRM Selasa depan berhubung SRC International

Najib diminta ke pejabat SPRM Selasa depan berhubung SRC International

Beliau diminta hadir pada Selasa depan untuk merakamkan keterangan berhubung SRC International.

Free Malaysia Today
SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa depan bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Sumber SPRM berkata Najib diminta memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Sepasukan pegawai SPRM menghantar notis berkenaan. Setakat ini, beliau diminta hadir pada Selasa depan untuk kita merakamkan keterangan berhubung SRC International,” katanya ketika dihubungi hari ini.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkantiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Mohamed Apandi dilaporkan berkata berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, beliau sebagai pendakwa raya berpuas hati tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Najib berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan.

Sehubungan itu katanya, satu kertas siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan 2 kertas siasatan berkaitan SRC International dikembalikan kepada pihak SPRM selain mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan ditutup.

Terdahulu, 2 buah kereta milik SPRM dilihat memasuki kediaman ahli Parlimen Pekan itu di Jalan Langgak Duta, pada 4.00 petang.

Kereta jenis Proton Preve dan Inspira berwarna perak itu yang dinaiki 8 pegawai SPRM kemudiannya meninggalkan kediaman itu pada 5.41 petang.

Awal pagi tadi, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, dipercayai berkaitan bekas perdana menteri itu dalam siasatan kes 1MDB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata selain itu, sebanyak 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari 3 unit kediaman di kondominium di kawasan sama.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lepas, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.