
Faizal yang juga menteri besar Perak berkata, penilaian dan penapisan akan dilakukan ke atas wakil rakyat yang ingin menyertai Pakatan Harapan (PH) negeri.
“Jamaluddin menjadi salah satu faktor pengkhianatan terhadap kerajaan PR sehingga berlaku krisis pentadbiran di Perak pada awal 2009.
“Saya dengan ini memaklumkan permohonan beliau untuk menyertai PPBM ditolak tanpa rundingan,” kata pengerusi PH Perak itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail ketika dihubungi FMT mengesahkan perkara itu dan berkata, Faizal tidak menyedari Jamaluddin turut menghadiri majlis kemasukan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam PPBM di Ipoh, semalam.
“Menteri besar hanya hadir untuk majlis kemasukan Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ke dalam PPBM. Namun tidak dimaklumkan kehadirannya (Jamaluddin).
“Kehadirannya (Jamaluddin) tidak diundang, tidak dijemput. Kita hanya tahu perkara ini selepas majlis penyertaan Zainol Fadzi,” katanya yang mengesahkan Faizal menerima penyertaan Zainol Fadzi yang bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum Rabu lalu dalam PPBM.
Pada awal 2009, Jamaluddin (PKR-Behrang) bertindak keluar parti bersama Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) menjadi calon bebas mesra BN.
Adun Bota ketika itu, Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar Umno untuk menyertai PKR pada 25 Januari 2009, sebelum melompat kembali ke Umno 10 hari kemudian.
Tindakan 4 adun itu menyebabkan kerajaan negeri PR tumbang.