Bekas timbalan menteri: Faktor Dr M, pengundi muda punca BN tumbang di Johor

Bekas timbalan menteri: Faktor Dr M, pengundi muda punca BN tumbang di Johor

Abd Aziz Kaprawi berkata, tsunami Cina kali ini lebih teruk terhadap BN berbanding PRU13.

Free Malaysia Today
Abd Aziz Kaprawi mendakwa tsunami Cina kali ini lebih teruk berbanding PRU13.
JOHOR BAHRU:
Bekas timbalan menteri pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi berkata, faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengundi muda yang beralih sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menyebabkan Barisan Nasional (BN) tumbang di Johor buat pertama kali.

Bekas ahli Parlimen Sri Gading yang kalah kepada calon PH semalam berkata, pengaruh Dr Mahathir berjaya menarik pemimpin dan ahli Umno menyokong PH.

“Selain 2 faktor itu, saya lihat banyak tohmahan atau tuduhan palsu seperti 1MDB, berita palsu sentiasa memberi gambaran buruk pada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Aziz gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sri Gading selepas tewas kepada Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh dari PKR dengan majoriti 3,288 undi. Seorang lagi pencabar dari PAS, Lt Kol M Ash’ari hanya mendapat 4,548 undi.

Pada 2013, Aziz menewaskan calon PKR, Mohd Khuzzan Abu Bakar dengan kelebihan 5,761 undi.

Majoriti itu bagaimanapun lebih rendah daripada kelebihan 10,874 undi yang diperolehi calon BN pada 2008, Tan Sri Mohamad Aziz ketika menewaskan calon PKR, Ali Markom.

Pada pilihan raya umum ke-11 (PRU11) , Mohamad menang dengan majoriti 16,196 undi menewaskan calon PKR, Ahmad Faidi Saidi.

Sementara itu, Aziz menyifatkan janji PH untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ialah janji “melangit”.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut mendakwa tsunami Cina kali ini lebih teruk berbanding PRU13.

“Pengundi Cina sudah tidak memihak kepada BN dan kali ini lebih dasyat.”

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali berkata kekalahan Umno di Johor merupakan pengajaran kepada partinya untuk tidak leka dalam mentadbir kerajaan negeri.

Beliau mengakui isu nasional antara faktor mempengaruhi pengundi di Johor menyokong PH.

“Walaupun kita sudah memerintah Johor selama 60 tahun, namun kita akui ada kelemahan dalam isu-isu kecil yang tidak diselesaikan.

“Bukan tugas mudah, tetapi kita ambil iktibar kekalahan ini. Kemenangan PH juga adalah satu cabaran untuk mereka berkhidmat kepada rakyat di Johor.”

Katanya, kekalahan Umno di Johor adalah petanda partinya perlu bekerja keras berkhidmat dan menawan hati rakyat kembali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.