Peniaga selamatkan ibu mengandung semasa puting beliung di Johor

Peniaga selamatkan ibu mengandung semasa puting beliung di Johor

Mohammad Rashidi Abu Hashim berkata sebelum kejadian, keadaan cuaca hanya hujan renyai-renyai tetapi sekelip mata suasana berubah dengan angin kencang berserta puting beliung.

ISKANDAR PUTERI:
Seorang peniaga pisang goreng dan pelanggannya yang sarat mengandung bersama seorang anaknya berdepan detik cemas apabila kejadian puting beliung tiba-tiba melanda kawasan Lima Kedai di Gelang Patah, petang semalam.

Mohammad Rashidi Abu Hashim yang berkongsi pengalamannya itu berkata sebelum kejadian, keadaan cuaca hanya hujan renyai-renyai namun dalam sekelip mata suasana berubah dengan angin kencang berserta puting beliung.

“Masa kejadian itu lebih kurang 4.40 petang. Saya sudah nak habis niaga… ketika itu saya ada dua pelanggan, wanita mengandung itu dengan anak perempuannya di gerai saya.

“Mereka jadi panik bila angin sudah mula kencang. Khemah gerai saya pun dah mula nak melayang. Pada mulanya saya memegang khemah saya agar tidak terbang… tapi bila saya lihat pusaran angin puting beliung itu yang menghampiri wanita itu, saya pergi selamatkan mereka dengan menghalakan kedua-dua beranak itu jauh dari pusaran angin tersebut,” katanya.

Pemuda berusia 31 tahun itu berkata beliau bersyukur kejadian tersebut hanya seketika dan selepas menyelamatkan dua beranak itu, khemahnya yang melayang, jatuh dan terkena tangan kirinya mengakibatkan pergelangan tangannya cedera.

“Saya tak kisahlah, janji wanita itu selamat sebab saya lihat pusaran angin puting beliung tu memang besar sampai semua perkakas perniagaan berterbangan…duit niaga pun habis dibawa puting beliung itu,” katanya sambil menunjukkan tangan berbalut kerana kecederaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui bersama calon Barisan Nasional bagi Parlimen Iskandar Puteri Datuk Jason Teoh Sew Hock hari ini.

Sementara itu, Teoh berkata jentera BN Iskandar Puteri merupakan kumpulan paling awal tiba sejak semalam untuk memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas kerana bencana tersebut.

“Sebaik mendengar berita terbabit, kami bergegas ke tempat kejadian untuk mengenal pasti kerosakan dan masalah penduduk yang terjejas.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya pihak penghulu dan ahli majlis kami berjaya menyelesaikan beberapa masalah mengalihkan pokok tumbang dan tiang elektrik yang terjejas,” katanya lagi.

Selain itu, bahan-bahan pembinaan akan diberikan secara percuma untuk membaiki rumah yang mengalami kerosakan.

“Ini hasil perbincangan kami dengan beberapa usahawan yang bersetuju menaja barangan binaan bagi membaiki rumah yang terjejas.

Menurut beliau, tidak kurang daripada 100 rumah mengalami kerosakan ekoran puting beliung yang melanda kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.