Penganggur tak faham pertuduhan dera kanak-kanak hingga mati

Penganggur tak faham pertuduhan dera kanak-kanak hingga mati

Lelaki yang juga kekasih ibu mangsa diperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Free Malaysia Today
Kanak-kanak itu dipercayai anak teman wanita tertuduh tidak sedarkan diri dan mengalami muntah-muntah sebelum disahkan meninggal dunia.
KANGAR:
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun, 2 minggu lepas.

Tertuduh, Noraizuwan Hamali, 26, didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan, di Nombor 33 Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi, antara 3.45 petang 18 April lepas dan 12.10 tengah malam 19 April lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh memberitahu tidak memahami pertuduhan walaupun ia telah dibacakan 2 kali oleh jurubahasa mahkamah dan majistret sendiri.

Justeru itu, Majistret Norhayati Ibrahim menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Dalam kejadian dua minggu lepas Mohamad Rayyan Hidayat, dipercayai anak teman wanita tertuduh, dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, setelah tidak sedarkan diri dan mengalami muntah-muntah sebelum disahkan meninggal dunia.

Kanak-kanak 6 tahun mati disyaki didera kekasih ibu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.