
Ahli Parlimen Selayang William Leong menyangkal desas-desus gabungan itu akan mengecilkan perkhidmatan awam negara yang memiliki kekuatan 1.63 juta kakitangan jika ia menawan Putrajaya.
“Peranan kerajaan dan jumlah kakitangan awam berbeza mengikut negara bergantung kepada keperluan dan keadaannya,” katanya merujuk kepada laporan mengatakan nisbah jumlah kakitangan awam di Malaysia antara tertinggi di dunia.
Nisbah jumlah kakitangan awam Malaysia adalah 1 kepada 19.37, berbanding Singapura (1 kepada 71.4), China (1 kepada 108.3), Indonesia (1 kepada 110) dan United Kingdom (1 kepada 118).
Leong berkata PH mahu menumpukan kepada penambahbaikan perkhidmatan awam dan rasionalisasi peranan dan fungsi kementerian.
Leong berkata kerajaan sekarang yang melaksanakan “pensaizan wajar” ke atas perkhidmatan awam, termasuk menawarkan dasar pemisah untuk kakitangan awam bawah Rancangan Malaysia ke-11.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan merancang untuk mencapai nisbah kakitangan awam sebanyak 1 kepada 20 orang.
Kerajaan memperuntukkan RM78 bilion untuk gaji kakitangan awam, meningkat daripada RM42 bilion pada 2010.