Ukraine berminat tingkat kerjasama pertahanan dengan Malaysia

Ukraine berminat tingkat kerjasama pertahanan dengan Malaysia

Kata duta besarnya, Ukraine amat komited bekerjasama dengan Malaysia dan aspek pertahanan adalah antara bidang utama yang menjadi fokus bersama kedua-dua negara sejak sekian lama.

KUALA LUMPUR:
Ukraine berhasrat meningkatkan dan meluaskan lagi hubungannya dengan Malaysia dalam bidang industri pertahanan berikutan pembangunan pesat negara ini dari segi penggunaan sistem pertahanan, kata duta besarnya ke Malaysia Olexander Nechytaylo.

Beliau berkata Ukraine amat komited bekerjasama dengan Malaysia dan aspek pertahanan adalah antara bidang utama yang menjadi fokus bersama kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Kami (Ukraine) baru bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. Kami berbincang dan bersetuju bekerjasama rapat serta mewujudkan rangka kerja sewajarnya.

Sehubungan itu, banyak aspek akan dibincangkan seperti politik, pertahanan dan perkongsian idea,” katanya kepada Bernama di luar acara pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NatSec) 2018 hari ini.

Olexander berkata setelah menghadiri DSA pada 1998, beliau dapat melihat perbezaan besar yang wujud dalam tempoh 20 tahun dan ini menunjukkan Malaysia mencapai banyak kemajuan dalam menyumbang secara aktif terhadap keselamatan serantau.

“Secara jujur, saya kagum dengan Angkatan Tentera Malaysia, yang mengalami banyak penambahbaikan dan komited terhadap keselamatan serantau, manakala asetnya pula dilengkapkan dengan teknologi terkini,” katanya.

Dalam menganjurkan pameran DSA dan NatSec 2018, Kerajaan Malaysia mempamerkan komitmennya untuk meningkatkan keselamatan negara dan rantau ini.

Dasar itu menjadi salah satu tonggak manifesto Barisan Nasional, meningkatkan keamanan melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan sekiranya parti itu terus berkuasa melalui pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Ketua Pengarah Industri Pertahanan Ukraine Pavlo Bukin berkata pihaknya mengesyorkan produk tertentu untuk digunakan Angkatan Tentera Malaysia.

“Kami syorkan 2 jenis kenderaan ketenteraan 4×4 kami. Mereka menunjukkan minat dan kami berharap akan dapat meneruskan kerjasama sedia ada.

“Ukraine bersikap sangat terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia dan kami tidak mempunyai sebarang agenda politik dengan Malaysia. Kami bukan kuasa besar dan kami tidak mempunyai kepentingan tersembunyi. Kami ingin pastikan semua persiapan akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Pameran 4 hari itu yang bermula Isnin di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sinmenghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 anggota perwakilan dari 45 negara.

Ia dijangka menarik 40,000 pengunjung dan menjadi platform pertemuan bagi pihak pengurusan tertinggi dalam bidang pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea, di samping memberi peluang kepada penggiat industri untuk memasarkan perkakasan, perisian dan perkhidmatan mereka.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.