Dr M mohon hakim tarik diri dalam saman laporan RCI

Dr M mohon hakim tarik diri dalam saman laporan RCI

Peguam Dr Mahathir berkata pihaknya kemukakan permohonan itu atas alasan Hakim Azizah sebelum ini buat keputusan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman berkaitan pelantikan 2 anggota suruhanjaya siasatan berkenaan.

KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar kes saman pemula difailkan bekas perdana menteri itu berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili Dr Mahathir, berkata pihaknya mengemukakan permohonan itu atas alasan Hakim Azizah sebelum ini pernah membuat keputusan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir berkaitan pelantikan 2 anggota suruhanjaya siasatan berkenaan.

Pada 17 Ogos 2017, Azizah tidak membenarkan permohonan Dr Mahathir membatalkan keputusan suruhanjaya siasatan itu yang menolak permohonannya bagi membatalkan pelantikan pengerusi suruhanjaya itu Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggota suruhanjaya berkenaan, Tan Sri Saw Choo Boon.

“Dalam permohonan sebelum ini, pihak kerajaan mengemukakan bantahan dan ia didengar dan diputuskan oleh hakim sama (Azizah), isu dibangkitkan hari ini oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman pemula anak guam saya hampir sama dengan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu,” katanya selepas bertemu hakim di kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan AGC bagi membatalkan saman pemula difailkan Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM atas alasan beliau tidak mempunyai kausa tindakan munasabah memfailkan tindakan tersebut dan mahkamah tidak boleh mengambil tindakan terhadap suruhanjaya berkenaan.

Mohamed Haniff berkata mahkamah menetapkan 17 Mei untuk keputusan berhubung penarikan diri hakim berkenaan.

Pada awal Disember 2017, Dr Mahathir memfailkan saman pemula dengan menamakan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Tan Sri Mohd Sidek Hassan, anggota panel suruhanjaya iaitu Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K Pushpanathanan, Datuk Dr Yusof Ismail selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan jemaah menteri serta kerajaan sebagai defendan.

Dalam samannya, Dr Mahathir memohon deklarasi, mana-mana ”Laporan Siasatan Diraja” oleh mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah sekiranya mengandungi semua bahan yang ditampilkan pada keseluruhan prosiding suruhanjaya tersebut, termasuk kesemua penyata bertulis saksi-saksi yang dipanggil memberi keterangan di dalam prosiding RCI.

Beliau juga memohon deklarasi, laporan suruhanjaya itu tidak sah dan/atau terbatal dan/atau tidak terpakai sama sekali atas alasan kegagalan dan/atau kecuaian semua defendan memasukkan keseluruhan nota prosiding berkaitan keterangan lisan saksi yang dipanggil memberi keterangan sama ada transkripsi atau rakaman video, semua permohonan dan hujahan pihak sama ada hujahan bertulis atau lisan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.