
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata “screening” itu akan dilakukan Hospital Shah Alam kerana pihaknya mengesyaki lokap berpusat itu dijangkiti penyakit.
Beliau tidak menolak kemungkinan Thanabalan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, turut dijangkiti penyakit.
“(Bagaimanapun) semua punca kematian mesti ditentukan oleh bedah siasat. Bedah siasat dibuat pagi ini, jadi saya tak boleh kata apa-apa lagi,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
FMT hari ini melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun dari Kapar yang ditahan polis 20 hari lalu meninggal dunia malam tadi.
Ahli keluarga Thanabalan berkejar ke hospital selepas menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan beliau sudah meninggal dunia, didakwa kerana serangan jantung.
Ahli keluarganya berkata, Thanabalan ditahan di luar SJKC Soo Lin pada 29 Mac lepas semasa menghantar salah seorang anaknya ke sekolah.
Fadzil berkata, polis tidak tahu bila laporan hasil bedah siasat akan dikeluarkan.
“Kadang-kadang ‘post mortem’ boleh sehari, kadang-kadang 2 hari, kadang-kadang 3 hari. Kita tak tahu,” katanya yang mengesahkan Thanabalan meninggal dunia di Hospital Shah Alam.
Beliau berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan berhubung kematian Thanabalan, walaupun ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.